PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi di Istana Negara tengah hari tadi.
Memetik laporan New Straits Times (NST), kunjungan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak dapat dihidu media yang biasanya berkumpul di pintu utama Istana Negara.
Ini kerana kebanyakan media berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk membuat liputan sambutan Maulidur Rasul sejak pagi tadi.
Menurut NST, pertemuan itu dipercayai bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen.
“Pembubaran Parlimen mungkin seawal esok,” kata sumber seperti dipetik NST.
Perdana Menteri turut dikatakan akan menghantar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memulakan lawatan khas ke London, United Kingdom mulai esok hingga 16 Oktober.
Baca artikel berkaitan: Hanya 45 minit, PM selesai menghadap Agong di Istana Negara
Dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua akan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, Rabu ini.
Khamis lalu, Perdana Menteri hanya mengambil masa kira-kira 45 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Perdana Menteri yang menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna putih dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira pukul 4.45 petang.
Beliau sempat menurunkan tingkap kereta dan melambai kepada petugas media di luar perkarangan Istana Negara.
Sesi menghadap itu mendapat perhatian meluas berikutan spekulasi bahawa Perdana Menteri akan memohon pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

