Di daerah Chichibu yang mengambil masa dua jam perjalanan dari Tokyo, terdapat sebuah muzium unik yang hanya mempamerkan ribuan bongkah batu-batu kecil.

Muzium Chichibu Chinsekikan ini memiliki lebih 1,700 bongkah koleksi batu unik pelbagai mimik muka manusia dan lain-lain hidupan.

Pencetus kepada muzium ini ialah Shoji Hayama, seorang lelaki yang suka mencari pelbagai batu semulajadi untuk dijual sejak lebih lima dekad yang lalu.

Kebanyakan batu yang ditemui Hayama mempunyai bentuk-bentuk unik dan menyerupai wajah-wajah manusia, haiwan, pulau, gunung dan benda-benda lain. Ia adalah batu yang ditemui dalam keadaan semula jadi begitu dan bukannya yang diukir.

Suatu hari, seorang saudaranya mengirimkan seketul batu hitam yang mempunyai seakan imej wajah sesuatu di atasnya. Menurut Hayama, suatu malam dia bermimpi didatangi seseorang yang berwajah seperti pada batu itu yang memintanya agar memberi batu hitam itu lebih ramai ‘kawan’.

Daripada situlah Hayama mendapat idea untuk mengumpulkan koleksi-koleksi batu uniknya lalu membuka sebuah muzium kecil di rumahnya pada tahun 1990.

Muzium ini diasaskan oleh Hayama untuk mempamerkan koleksi batu-batu aneh miliknya.
Antara koleksi batu di muzium ini.

Asalnya, ia sekadar hobi untuk memastikan batu-batu itu tersimpan baik. Namun lama kelamaan, batu-batu yang dipamerkan Hayama mula mendapat perhatian sehingga ia mendapat publisiti yang meluas di pelbagai saluran media.

Sejak itu, muzium ini mula dikenali ramai dan dikunjungi bukan saja orang tempatan, tetapi juga pelancong dari luar negara.

Ramai mengatakan batu-batu di sini ada yang menyerupai selebriti popular seperti Elvis Presley dan watak Jack Sparrow serta Dongkey Dong. Tak kurang juga yang menyerupai ahli politik dan karakter anime, selain seakan-akan bentuk sesuatu kejadian alam.

Selepas Hayama meninggal dunia pada tahun 2010, muzium kecil ini dijaga oleh anak perempuannya, Yoshiko.

Menurut Yoshiko, kebanyakan batu-batu di sini mempunyai nama tersendiri. Namun, masih banyak koleksi batu bermuka milikinya yang belum ada nama. Kata Yoshiko, bukan mudah untuk menamakan setiap koleksi batu tersebut. Tambahan pula, ia memakan tempoh masa lama sebelum nama sesuai diberikan.

Kerana itu, wanita ini turut membuka peluang kepada para pengunjung menamakan koleksi batu di muzium ini.

Batu berbentuk wajah Elvis Presley.
Batu seperti watak Alien.
Batu seperti watak game Dongkey Dong.

Dari sudut sains pula, pembentukan wajah manusia pada batu mungkin terjadi disebabkan proses luluhawa mineral atau ketidaksempurnaan tertentu dalam sesebuah bongkah batu.

Jika diteliti dari aspek penyelidikan geologi, keadaan ini terhasil akibat kehadiran air yang memasuki ruang-ruang antara retakan.

Apabila retakan semakin berkembang, air akan memasuki retakan terbabit dan menyebabkan berlakunya proses perluluhawaan kimia yang membawa kepada pembentukan mineral berketumpatan rendah baru.

Proses ini akan meningkatkan retakan dan pada akhirnya batuan tersebut akan terbentuk seperti wajah seakan manusia atau sesuatu objek.

Namun, lain pula penjelasan dari sudut penyelidikan psikologi. Sesetengah pakar berpendapat, keadaan ini mungkin berkait rapat dengan satu gejala yang dipanggil pareidolia.

Keadaan ini merujuk tentang kecenderungan psikologi yang menganggap sifat-sifat manusia wujud pada benda bukan hidup. Keadaan ini bukan sahaja boleh pada batu tetapi objek bukan hidup lain seperti awan, bukit, besi, plastik, kepulan awan, daging dan sebagainya.

Sebahagian batu yang terdapat di muzium ini.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com