Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang saya mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang saya musafir lalu

Tahu tak pantun ini dari filem apa dan siapa yang menuturkannya? Ya, filem Sri Mersing (1960), oleh Allahyarham Nordin Ahmad.

Walaupun sudah lebih 60 tahun, namun pantun ini tetap kita ingati. Malah kita pun menambah-nambah jadi sate Kajang, Kajang Selangor, kertas kajang, tikar mengkuang dan entah apa-apa lagi. Kan? Jangan tak mengaku, ya. Tapi tahukah anda siapa yang mencipta pantun itu?

Di sinilah letaknya kehebatan Salleh Ghani. Tidak ramai yang tahu filem Sri Mersing, yang menjadi box office pada zaman itu dan terus diminati sehingga kini, adalah filem pertama arahan Salleh Ghani.

Bukan itu saja, cerita dan skrip filem berkenaan, termasuklah pantun Pak Malau tadi, juga ciptaan beliau. Bagaimana Salleh Ghani dapat menghasilkan karya yang begini hebat?

Inilah keistimewaan Salleh Ghani yang tidak ada pada orang lain dan jarang diperkatakan orang. Salleh Ghani bukan setakat boleh berlakon, malah seorang wartawan dan penulis.

Tidak ramai yang tahu sebenarnya lama sebelum mengarah filem Sri Mersing, Salleh Ghani pernah menjadi wartawan majalah Juita (1946) dan majalah Masyarakat (1949).

Dalam masa sama, beliau menulis novel Salleh Ghani dan telah menulis 24 buah novel dan novel pertamanya diterbitkan pada 1947 berjudul Seruan Merdeka.

Daripada 24 buah novel itu pula, enam daripadanya telah difilemkan.

Selain itu, Salleh Ghani telah menulis 19 buah cerpen yang diterbitkan oleh majalah Mutiara, Juita, Masyarakat dan Hiburan Kanak-kanak. Melalui bakat penulisan inilah Salleh Ghani dapat menghasilkan filem-filemnya.

Sri Mersing adalah filem yang telah mengangkat nama Salleh Ghani sebagai pengarah hebat Cathay Keris Film Singapura.

Ada cerita menarik…

Dalam bukunya yang berjudul Filem Melayu Dari Jalan Ampas ke Ulu Klang, Salleh Ghani menyatakan, “Saya memilih untuk menghasilkan filem purba kerana keadaan ketika itu sibuk dengan filem hantu, masyarakat dan komedi.

“Boleh dikatakan tidak ada filem pecintaan teruna dan dara yang tidak menyinggung adat dan susila bangsa di zaman dulu. Tujuan saya bebuat begitu adalah untuk memaparkan adat dan masyarakat Melayu yang sentiasa berbudi bahasa dan bersopan-santun.”

Buku terbabit boleh didapati di pautan ini.

Salleh Ghani juga menceritakan, pada awalnya jawatankuasa Story Board Cathay Keris hampir menolak Sri Mersing. Ia hanya diluluskan setelah dibahaskan begitu panjang, tetapi dengan satu syarat iaitu sekiranya filem ini tidak laku, maka pihak story board tidak akan bertanggungjawab. Salleh Ghani sebagai penulis cerita dan pengarah perlu memikul bebannya.

Tetapi Salleh Ghani bukan sembarangan. Beliau memilih Nordin Ahmad sebagai hero untuk watak Damak, Rosnani Jamil sebagai Sri, Mahmud Jun (Awang, anak penghulu), Shariff Medan (Pak Malau, ayah Sri Mersing), Mustapha Maarof (Deli, adik Damak), Neng Yatiman (ibu Damak), Mariani (Siantan, anak saudara penghulu), Pak Yem (Penghulu Sri Mersing) dan Roseyatimah (kawan Sri Mersing). Pelakon tambahan seperti Wahid Satay, Mak Menah dan Mak Dara. Semua mereka pelakon hebat.

Penggambaran siap dalam masa 40 hari. Kebanyakannya dilakukan di luar Singapura seperti Mersing dan Muar. Tanpa diduga filem Sri Mersing telah meraih box office.

Pihak pengurusan Cathay Keris terkejut denggan kejayaan itu dan telah memberikan bonus 10 peratus kepada semua pelakon serta pekerja studio sebagai imbuhan atas kerja keras mereka.

Kejayaan Sri Mersing ini melonjakkan nama Nordin Ahmad dan Rosnani Jamil. Yang menariknya juga, cinta mainan yang dilakonkan oleh Mustapha Maarof dan Roseyatimah telah menjadi kenyataan di luar filem. Mereka kemudiannya mendirikan rumah tangga dan menjadi pasangan yang cukup romantis.

Selepas Sri Mersing, Salleh Ghani diberi tugas untuk mengarahkan filem Jalak Lenteng, juga keluaran Cathay Keris.

Selain kisah yang dinyatakan tadi, perlu diketahui bahawa Salleh Ghani merupakan salah seorang perintis filem Melayu. Beliau adalah hero filem pertama selepas Perang Dunia Kedua iaitu Seruan Merdeka (1947), keluaran Malayan Arts Productions, arahan B. S. Rajhans. Dalam filem itu Salleh melakonkan watak Leftenan Rashid manakala heroinnya ialah Rokiah Hanafi.

Keluarga 69 (1967) adalah filem terakhir beliau sebagai pelakon, bersama P. Ramlee, A. R. Tompel dan Siput Sarawak yang mana keempat-empat ini merupakan sahabat karib.

Sepanjang hayatnya Salleh Ghani telah berlakon 19 buah filem. Beliau mengarah 13 buah filem dan yang terakhir berjudul Pertentangan (1982-1984) keluaran EPA Film Production.

Setelah itu Salleh Ghani beralih ke televisyen dengan mengarah drama Tragedi Sri Mersing (RTM, Motion Picture) dan Teluk Mas (1985) keluaran OHMS Productions (1985, RTM episod 1-3) Fitrah kehidupan, sampai masanya kita akan pergi jua.

Salleh Ghani meninggal dunia pada 20 Ogos 1986 pada usia 63 tahun dengan meninggalkan jasa yang tidak ternilai harganya.

Semoga roh Allahyarham Salleh Ghani ditempatkan dalam kalangan umat yang dikasihi dan dirahmati-Nya. Al-Fatihah.

Sumber: Zulkarnain Zakaria