DR. RADZI Jidin bersama para pelajar yang memakai pakaian adiwira ketika melawat SK Putrajaya Presint 17(1), Putrajaya hari ini. - Gambar FB Radzi Jidin

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin hari ini melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di Putrajaya sebagai sebahagian daripada aktivitinya yang sering melawat sekolah tanpa protokol atau sambutan rasmi.

Beliau melawat sekolah tersebut bertujuan untuk bersama-sama para pelajar GENIUS Negara dan GENIUS Kurnia menyertai program Hari Sukan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak Genius sempena Hari Sukan Negara.

“Meriah program tadi dengan kehadiran murid dan ibu bapa. Bukan anak-anak sahaja yang gembira dan seronok menyertai aktiviti yang disediakan, ibu bapa pun saya nampak begitu teruja menyertai pertandingan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Beliau berkata, mereka mewakili pasukan adiwira Superman, Ninja Turtle, Bumblebee & Captain America.

BERITA BERKAITAN “Rumah Melayu dinobatkan antara seni bina terbaik di dunia,” – Bangsa Melayu genius. Elak banjir, laluan angin, pintu masuk dan kiblat lurus, ini kehebatan seni Melayu

“Singgah ke sekolah atau program sekolah tanpa protokol atau sambutan rasmi memang menjadi amalan saya sejak berada di KPM.

“Melalui pendekatan ini saya dapat meluangkan lebih masa untuk berjumpa dengan anak-anak murid, cikgu dan ibu bapa,” tambahnya.

Katanya, pentadbir sekolah dan guru juga tidak perlu membuat persiapan berhari-hari dengan bermacam-macam jawatankuasa dan apa yang penting beliau dapat mengetahui kepayahan dan situasi sebenar yang berlaku di sesebuah sekolah.

“Kemudian langkah penyelesaian akan diambil.

Terima kasih semua, maaf pak cik muncul secara tiba-tiba tadi,” katanya. – UtusanTV

ANTARA pelajar yang terlibat dalam sambutan Hari Sukan Negara di SK Putrajaya Presint 17(1).