ALAM semesta menyimpan banyak misteri yang terkadang sulit untuk dipecahkan. Salah satu daripadanya ialah pantai yang luar biasa unik di mana pola ombaknya menyerupai bentuk gigi.
Di Dorset, England, terbentang sebuah pantai yang bukan saja indah, tetapi mempunyai keunikan ombak tersendiri. Aliran ombak di pantai ini sering dilihat ‘berkelakuan’ aneh yang berbentuk seperti ‘gigi’ di sepanjang tepi pantai.
Pola ombak itu terbentuk secara semula jadi tanpa bantuan manusia sedikit pun. Irama ombak Cusps Beach ini pernah menjadi perdebatan ramai ilmuwan. Namun, tiada jawapan yang benar-benar disepakati kepada pembentukan fenomena tersebut.
Banyak teori diguna pakai sebagai pencerahan kepada kejadian ombak ini. Antara pendapat yang sering menjadi sandaran untuk menjelaskan hal itu disebabkan ombak anomali yang terjadi di bawah permukaan laut.

Terdapat beberapa teori lain yang juga dipercayai penyebab kepada pola ombak Cusps Beach ini. Dua teori paling popular ialah Standing Edge dan Self-Organization.
Teori Standing Edge menerangkan bahawa terdapat interaksi gelombang normal menghampiri pantai dan gelombang berserenjang dengan garis pantai, disebut ‘gelombang pinggir berdiri’. Gelombang ini umumnya adalah subharmonik di mana ia memiliki tempoh gelombang dua kali daripada gelombang masuk.
Akibat pertembungan kedua-dua gelombang dari arah bertentangan menyebabkan ombak yang terhasil berubah irama menjadi tegak berdiri di pantai iaitu daripada puncak ke palung. Interaksi keduanya telah memungkinkan terbentuknya pergerakan gelombang serentak sehingga merubah pantai menjadi berlekuk-lekuk mirip formasi gigi.
Teori Self-Organization pula menjelaskan bahawa pembentukan lekukan di sepanjang pantai ini sebenarnya adalah disebabkan oleh gelombang tetap. Teori ini menyatakan bahawa interaksi gelombang, arus dan pasir yang secara terus menerus – mengalir dan menghentam pasir dikatakan telah menyebabkan pola naik turun atau lekukan rapi di sepanjang pantai.
Dengan kata lain, Self-Organization ini didasari dengan gelombang yang datang menghentam ke tanduk lekuk pantai sebelum berpecah dan terpisah menjadi dua arah.
Apabila ombak masuk ke dalam lekukan pantai, ia akan memperlahankan halajunya menyebabkan sedimen yang lebih besar atau kasar didepositkan pada bibir lekukan. Gelombang tersebut kemudian mengalir di sepanjang palung atau lekuk – mengambil semua sedimen yang lebih halus dan mengalir di tengah-tengah lekukan.
Terdapat banyak perbincangan mengenai pembentukan lekukan pantai sama ada terkait dengan kehadiran Standing Edge atau Self-Organization. Namun, kebanyakan saintis percaya bahawa teori Self-Organization merupakan penyebab utama kepada pembentukan palung di garis ini.
Berdasarkan eksperimen melibatkan pelbagai proses seperti geofizik, kimia, fizik, biologi dan sosiologi di kawasan itu, kebanyakannya menyokong teori tersebut.
Pola unik ombak ini tidak hanya berlaku di pantai ini. Bahkan beberapa buah pantai lain di beberapa bahagian dunia turut dilihat mengalami fenomena serupa.
Antara pantai yang tersenarai termasuklah Jurassic Coast dan Ringstead Bay di Dorset. Bukan itu sahaja, pantai Palomarin Beach dan Point Reyes di Amerika Syarikat juga mengalami fenomena sama.


______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram