PELAKON Datin Almy Nadia meluahkan rasa kesal dan bengang selepas anak sulungnya tidak mahu makan kerana bimbang akan didenda oleh guru di sekolah jika tidak dapat menurunkan berat badan.

Menurut Almy atau Almy Nadia Aminuddin Shah,36, anaknya, Nur Adrina Arianna,7, enggan makan kerana mahu menguruskan badan seperti yang diarahkan oleh gurunya.

“Dia kata tak nak makan sebab nak kena kurus. Cikgu suruh kurus.

“Ini dia mak dia bising. Marah betul mama tau bila ada orang suruh anak kurus!

“Ini dah susut banyak tau sebab dia sekolah pagi dan petang, penat sekolahnya,” tulis Almy menerusi entri di Instagram.

Ujar Almy yang juga isteri kepada pelakon Datuk Fizz Fairuz lagi, dia akan ke sekolah dan bertemu dengan guru yang bertanggungjawab mengarahkan anaknya untuk menguruskan berat badan.

“Dia kata kena ikut arahan cikgu nanti kena denda sebab cikgu suruh kurus, nanti dia kena marah dekat sekolah.

“Mama naik hantu. Mama nak pergi ‘panjat’ sekolah jumpa cikgu mana yang suruh kurus tu. Sibuk nak suruh anak aku kurus. Tapi akhirnya anak aku nak bawa beg sekolah pun tak larat faham? Aku marah hari ini,” kata Almy lagi.