SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRU-15 Khamis ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

GENDANG pilihan raya dipalu apabila Parlimen dibubar berkuatkuasa 10 Oktober 2022. Namun mantan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, memfailkan saman pemula pada 11 Oktober berhubung pembubaran tersebut.

Beliau memohon deklarasi bahawa permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober untuk membubar Parlimen menyalahi Perlembagaan Persekutuan kerana tidak dibuat berdasar nasihat atau kuasa Jemaah Menteri.

Kerajaan, Ismail Sabri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut. Alasannya, saman tersebut mengaibkan, remeh serta menyalahguna proses mahkamah.

Permohonan ini dijangka didengar di Mahkamah Tinggi pada 20 Oktober. Proses pilihan raya seperti tempoh berkempen dan tarikh mengundi akan hanya dapat ditentukan oleh SPR setelah kes saman ini diputuskan.

Apa pun, kini pelbagai tarian mula ditarikan, pelbagai lagu dinyanyikan sejajar irama gendang pilihan raya. Setiap pemimpin dan parti politik mula menyingsing lengan dalam usaha menarik pengundi.

Teka teki dan dan keghairahan sekarang ialah mencongak siapa akan bertanding dan di mana. Ada di kalangan pemimpin parti sudah pasti. Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad, akan mempertahankan kerusi Langkawi. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin pula mempertahankan Pagoh.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula belum pasti mempertahankan kerusi Port Dickson kerana telah menerima tawaran daripada beberapa negeri meminta beliau bertanding di negeri berkenaan. Menurut Anwar, isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail, juga belum pasti mempertahankan kerusi Pandan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hampir pasti mempertahankan kerusi Marang. Para pemimpin Pas lain berkemungkinan besar tidak akan beralih daripada kubu masing-masing sekarang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tentu mempertahankan kerusi Bagan Datuk. Kali ini beliau akan ‘diburu’ oleh bekas Ahli Parlimen Benut, Tawfik Tun Dr. Ismail. Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, itu akan bertanding di mana juga Zahid bertanding.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan akan bertanding di Rembau, Negeri Sembilan. Penyandang kerusi, Khairy Jamaluddin, kenalah cari kerusi lain.

Setiap parti politik pasti ada strategi meletakkan calon ‘boleh menang’ di sesuatu kawasan tertentu. Namun akhirnya pengundi menjadi penentu. Kerana itu pengundi berdaftar mesti keluar beramai-ramai menunaikan tanggung jawab.

Baca artikel berkaitan: Jalan raya Malaysia antara terburuk?

PRU ke-15 buat julung kali menyaksikan kehadiran pengundi 18 tahun. Ke mana arah aliran pengundian anak-anak muda ini? Dianggarkan daripada jumlah keseluruhan 21.1 juta pemilih, 1.2 juta adalah yang berumur antara 18 hingga 21 tahun.

Setiap pengundi berperanan penting menentukan parti mana yang bakal membentuk kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang. Jangan anggap tidak mengapa tidak mengundi atas alasan hanya satu undi. Jangan main-main dengan nilai satu undi kerana ia boleh menentukan kalah atau menang.

Pilihan raya kali ini dijangka berlangsung dalam musim tengkujuh lantaran Monsun Timur Laut, seperti diramal Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Kebimbangan ramai ialah jika banjir melanda, peratusan keluar mengundi merosot. Ramai mangsa mungkin ditempatkan di pusat pemindahan banjir, merumitkan proses membuang undi.

Mereka akan lebih sibuk memikir dan mengutamakan diri dan keluarga serta harta benda dalam menghadapi banjir. Dibimbangi dalam kesibukan ini, perhatian atau minat membuang undi menurun.

Aspek ini wajar diberi perhatian serius oleh SPR. Persiapan pilihan raya mesti mengambil kira pandangan MET serta merangka pelan kontigensi jika bencana alam berlaku. Jangan sampai banjir menghalang orang ramai mengundi.

Tempoh berkempen belum diputuskan, namun bahangnya sudah terasa. Tuding menuding, kata mengata, serang menyerang, leceh memperleceh terhadap lawan sudah mula bergema.

Nampak tidak sabar menunggu tarikh kempen. Biasalah, terpaksa mendekatkan diri dengan orang ramai mulai sekarang, apatah lagi bagi yang muncul hanya pada waktu pilihan raya. Mereka senang dijumpa dan didampingi waktu berkempen.

Sudah menang, tiada khabar berita, hilang entah di mana. Bukan semua wakil rakyat bersikap begitu, namun ada yang demikian tabiatnya. Jika tidak masakan ada rintihan rakyat yang sukar bertemu wakil dipilih untuk mengadu masalah.

Cuaca sekarang sukar diramal. Panas pagi langsung tidak menjamin tidak hujan di tengah hari. Hujan tidak kira waktu. Mungkin musim berkempen nanti banjir mula melanda. Ada pemimpin politik yang telah berikrar sedia meredah banjir untuk berkempen. Bersediakah orang ramai datang mendengar?

Dalam bahang berkempen dan seterusnya pilihan raya nanti, alangkah elok jika semua berjalan dalam keadaan harmoni tanpa menjejaskan hubungan baik pemimpin dan ahli parti yang bertanding.

Anggap PRU-15 ini sebagai medan pemilihan antara sesama parti dan rakyat Malaysia, atau persaingan dalam Keluarga Malaysia, slogan yang dicetuskan oleh Ismail Sabri. Berkempenlah dalam suasana persahabatan, tidak mencaci cerca atau mengaibkan pihak tertentu. Lebih baik kempen berteras kepada misi dan visi setiap parti untuk negara dan rakyat.

Kerap berlaku, ketika berkempen berapi-api dan penuh bersemangat, ramai tenggelam dalam emosi sehingga lupa diri. Pelbagai kata-kata kurang sopan serta melampaui batas diluah dengan harapan pengundi akan ‘membeli’ setiap apa yang diperkatakan.

Kikislah sikap tidak baik ini. Perlu diingat, rakyat bijak menilai dan membuat perbandingan. Setiap tokoh yang berkempen atau bertanding dalam PRU-15, dan apa juga yang mereka perkatakan, akan diteliti serta menjadi rujukan pengundi menilai integriti parti dan calon. Pengundi inilah yang akhirnya menjadi hakim. Jangan perkecilkan kebijaksanaan mereka.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram