Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin GAMBAR: Abd Razak Aid

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof membuat laporan segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan dakwaan dilakukan blogger, Datuk Zaharin Mohd Yasin dalam akaun TikToknya bahawa berlakunya penyelewengan berhubung kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan di KPM.

Zaharin turut mendakwa Radzi dan Yusran Shah terlibat dalam penyelewengan tersebut.

Menurut Radzi, laporan kepada SPRM perlu dilakukan supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin.

Pada masa sama, Radzi turut berharap Zaharin dapat menyampaikan maklumat yang diterima kepada SPRM.

“Saya menerima hantaran video yang dibuat oleh Saudara Zaharin Yassin menyatakan bahawa terdapat aduan yang beliau terima tentang penyelewengan di KPM berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

“Memandangkan nama saya dan KSU KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan KSU KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca artikel berkaitan: KPM terus perkasa minat murid pelbagai jenis sukan

Terdahulu, Zaharin dalam video TikTok itu mendakwa telah menerima maklumat tentang tender bekalan makanan bermasak di sekolah yang ‘dianugerahkan’ kepada kontraktor dengan syarat perlu memberi ‘komisen’ empat hingga lima peratus.

Zaharin turut mendakwa kononnya Radzi dan kumpulannya menghubungi kontraktor tersebut untuk mendapatkan dana politik.

“Saya telah dimaklumkan oleh netizen. Benar atau tidak bukan saya buat tuduhan tetapi Menteri Pendidikan dan KSU KPM kena menjawab apa yang dibangkitkan dan diadukan kepada saya.

“Amalan KPM tidak pernah buat SST ini pada bulan November. (Jadi), kenapa dibuat sekarang? Persoalannya yang diadu kepada saya ialah yang menghubungi kontraktor itu khabarnya untuk dana politik.

“Menteri Pendidikan dan KSU KPM, kamu jawab soalan ini atau minta SPRM serbu KPM dan minta maklumat tender yang telah dianugerahkan kepada kontraktor ini. Saya boleh beri kerjasama jika mahu disiasat,” dakwanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram