JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang didalangi seorang lelaki warga Kemboja berusia 47 tahun dalam satu operasi khas yang dijalankan di Terminal Bas Shah Alam, Selangor, Ahad lepas.

Operasi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM setelah menerima maklumat awam terdapat seorang ejen dan lima orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres dari negeri sempadan Malaysia – Thailand.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI yang diseludup dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia – Thailand.

“Pasukan operasi telah mengesan sekumpulan enam orang warga asing yang disyaki ejen dan PATI yang diseludup berada di dalam terminal bas.

Sejurus warga asing tersebut keluar dari terminal, pasukan operasi telah menahan mereka dan menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Katanya, hasil pemeriksaan telah menahan seorang lelaki warga Kemboja berumur 47 tahun yang disyaki ejen bersama 2 orang lelaki Myanmar dan 3 orang perempuan Myanmar berusia antara 18 tahun sehingga 44 tahun.

Semakan lanjut mendapati kesemua warga Myanmar tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan hasil soal siasat mendapati mereka baru tiba di negara ini pada 15 Oktober 2022 melalui jalan yang tidak diwartakan.

BERITA BERKAITAN Imigresen tukar serta-merta pegawai bertengkar dengan orang awam di UTC – KP

Semakan ke atas ejen warga Kemboja mendapati beliau telah masuk ke negara ini pada Julai 2022 dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Sindiket ini dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara mula dibuka semula selepas ditutup akibat pandemik Covid-19.

Ejen penyeludupan di negara jiran akan mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap PATI yang diuruskan kemasukan di negara ini, manakala ejen di Malaysia akan dibayar oleh ejen dari negara jiran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap PATI yang diuruskan kemasukan di negara ini.

Kesemua yang diperiksa ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63. Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah akta yang sama.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram