كريس الڠ

Dari Penulis

ݢاليري نوسنتارا ايفيسود 23


كريس الڠ اتاو كريس ڤڽالڠ مروڤاكن سجنيس كريس كواس. اي بوكن سنجات يڠ دڬوناكن اونتوق برتاروڠ، تتاڤي مروڤاكن سيمبول كواس كراجاءن براج

كريس الڠ دڬوناكن اونتوق منجالنكن حكومن بونوه ترهادڤ ڤنجنايه برت. كراجاءن ملايو دهولوكالا مڠناكن حكومن بونوه باڬي كسالهن برت سڤرتي مندرهاک كڤد راج دان ڤمرينته

باڬي ملقساناكن حكوم بونوه دڠن كريس الڠ، ڤساله اكن ددودوقكن سچارا ملوتوت دڠن تاڠنڽ دأيكت كبلاكڠ دان الڬوجو اكن برديري دبلاكڠڽ

كريس اين اكن دهونوس دان دتيكم انتارا چله تولڠ سلڠک سبله كيري ڤساله، لالو دتكن سديكيت مڽيروڠ ككانن. كريس دڠن بيله يڠ ڤنجڠ اين اكن تروس منمبوسي جنتوڠ ڤساله يڠ مڽببكن كماتين سرتا-مرتا

حكومن بونوه دڠن چارا اين ساڠت چڤت، بركسن دان برسيه كران تيدق باڽق مڠلواركن داره. ماله، جاسد ڤساله ككل سمڤورنا دان لبيه موده دأوروسكن

باڬي ڤڠمبارا ايروڤه يڠ تيبا دكڤولاون ملايو سكيتر ابد ک-16، حكومن مڽالڠ اين ساڠت اسيڠ، كران حكومن برت دأيروڤه كتيک ايت بياساڽ دجالنكن دڠن كجم. بياساڽ ڤساله كسالهن برت اكن دڤڠڬل كڤالا، اتاو دسيقسا دڠن كجم سهيڠݢ ماتي. حكومن سڤرتي ايت ساڠت مڠريكن دان تياد بلس كاسيهن

مڠيكوت چاتتن سجاره، كراجاءن ملاک دباوه ڤمرينتهن سلطان محمود شاه (سلطان ملاک تراخير) ڤد اول ابد ک-16 مڠناكن حكومن سالڠ اين كأتس بنداهارا سري مهاراج تون متاهير دان كلوارڬاڽ

ماناكالا چاتتن اوليه ڤڠمبارا ايڠڬريس ڤد ابد ک-19، أيه. ويلفريد وولكر ددالم بوكوڽ برتاجوق

Wandering Among South Sea Savages and in Borneo and The Philippines جوݢ مڠاتاكن قاعده حكومن مڽالڠ اين بياسا دعمالكن اوليه كراجاءن ملايو، ترماسوق جوݢ اورڠ ملايو دسراوق

منوروت كتوا موزيوم واريثن ملايو اونيۏرسيتي ڤوترا مليسيا (يو.ڤي.عيم) ، دوكتور رحيمه حمدان، حكومن مڽالڠ تيدق بوليه دلقساناكن تنڤا كفهمن ترهادڤ اناتومي ماءنسي

سأورڠ الڬوجو يڠ اكن ملقساناكن حكومن اين ڤرلو مڠتاهوءي دڠن تڤت تمڤت اونتوق منيكم، باڬي ممستيكن كريس اين منوسوق تروس هيڠݢ كجنتوڠ، كران سبارڠ كسيلڤن اكن مڠعقيبتكن ڤڽيقساءن ترهادڤ ڤساله، دان موڠكين تيدق مڠعاقبتكن كماتين سرتا-مرتا سڤرتي يڠ سڤاتوتڽ

سنجات اين جوݢ مستيله چوكوڤ ڤنجڠ، تاجم دان تڬوه اونتوق منيكم سهيڠݢ منمبوسي جنتوڠ ڤساله. دري سيتوله داڤت دسيمڤولكن كبيجقسناءن اورڠ٢ ملايو تردهولو، دمان حكومن بونوه جوݢ دلاكوكن ڤنوه ادب دان برڤريكمأنسياءن. هاڽ مريک يڠ بنر٢ لايق بوليه مميليقي كريس الڠ دان ملقساناكن حكومن سبڬيني

باڬي ممنوهي فوڠسيڽ سباڬاي كريس اونتوق منجالنكن حكومن مڽالڠ، كريس الڠ مستيله ممڤوڽاءي بيله يڠ لوروس دان قوات. كريس الڠ بياساڽ دڤربوات درڤد بسي سباتڠ، تنڤا ڤامور دان دبوات لوروس تنڤا لوق (بهاڬين برليكوق ڤد بيله كريس)

بيله لوروس ممبوليهكن كريس دتوسوق تروس هيڠݢ مڠناءي جنتوڠ ڤساله. ڤنجڠ بيله كريس الڠ بياساڽ دبوات انتارا 19 هيڠݢ 27 ينچي، باڬي ممستيكن اي داڤت دتوسوق هيڠݢ منمبوسي جنتوڠ، دان دكلواركن سمولا تنڤا مڠعاقبتكن لوک ڤاره

ڤساله يڠ دسالڠ اكن ماتي سرتا-مرتا كران كڬاڬلن جنتوڠ. ڤندارهن جوݢ لبيه كڤد ڤندارهن دالمن، دان داره تيدق مڽمبور دڠن باڽق كران كدودوقن تيكمن ڤد بهاڬين اتس جنتوڠ

اوليه كران فوڠسيڽ سباڬاي كريس حكوم دان لامبڠ كواس، كريس الڠ بياساڽ مڠڬوناكن ڤاكاين دان هياسن خاص دان تيدق سام دڠن كريس يڠ دڬوناكن اونتوق برتاروڠ. ڤاكاين باڬي كريس مروجوع كڤد ساروڠ، هولو، سمڤير دان ڤندوكوق يڠ مروڤاكن ڤلڠكڤ باڬي سبيله كريس

كريس اين توروت مڠڬوناكن سمڤير بربنتوق بولن سابيت، دان دڤاكايكن هولو مڠيكوت چيتاراس كداءيرهن اتاو نڬري. سباڬاي لامبڠ كواس، كريس الڠ اداله انوڬره درڤد راج، دان تيدق سموا اورڠ بوليه مميليقيڽ

دالم سيستم ڤمرينتهن مودن كيني، كريس الڠ تيدق لاڬي دڬوناكن دالم حكومن بونوه نامون، ماسيه دككلكن سباڬاي انتارا الت كبسرن راج باڬي سسبواه نڬري اتاو نڬارا

GALERI NUSANTARA

Keris Alang

Keris alang atau keris penyalang merupakan sejenis keris kuasa. Ia bukan senjata yang digunakan untuk bertarung, tetapi merupakan simbol kuasa kerajaan beraja. 

Keris alang digunakan untuk menjalankan hukuman bunuh terhadap penjenayah berat. Kerajaan Melayu dahulukala mengenakan hukuman bunuh bagi kesalahan berat seperti menderhaka kepada Raja dan pemerintah. 

Bagi melaksanakan hukum bunuh dengan keris alang, pesalah akan didudukkan secara melutut dengan tangannya diikat ke belakang dan algojo akan berdiri di belakangnya.

Keris ini akan dihunus dan ditikam antara celah tulang selangka sebelah kiri pesalah, lalu ditekan sedikit menyerong ke kanan. Keris dengan bilah yang panjang ini akan terus menembusi jantung pesalah yang menyebabkan kematian serta-merta. 

Hukuman bunuh dengan cara ini sangat cepat, berkesan dan bersih kerana tidak banyak mengeluarkan darah. Malah, jasad pesalah kekal sempurna dan lebih mudah diuruskan. 

Bagi pengembara Eropah yang tiba di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-16, hukuman menyalang ini sangat asing, kerana hukuman berat di Eropah ketika itu biasanya dijalankan dengan kejam. Biasanya pesalah kesalahan berat akan dipenggal kepala, atau disiksa dengan kejam sehingga mati. Hukuman seperti itu sangat mengerikan dan tiada belas kasihan.

Mengikut catatan sejarah, kerajaan Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka terakhir) pada awal abad ke-16 mengenakan hukuman salang ini ke atas Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan keluarganya.

Manakala catatan oleh pengembara Inggeris pada abad ke-19, H. Wilfrid Walker di dalam bukunya bertajuk Wandering Among South Sea Savages and in Borneo and The Philippines juga mengatakan kaedah hukuman menyalang ini biasa diamalkan oleh kerajaan Melayu, termasuk juga orang Melayu di Sarawak.

Menurut Ketua Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rahimah Hamdan, hukuman menyalang tidak boleh dilaksanakan tanpa kefahaman terhadap anatomi manusia.

Seorang algojo yang akan melaksanakan hukuman ini perlu mengetahui dengan tepat tempat untuk menikam, bagi memastikan keris ini menusuk terus hingga ke jantung, kerana sebarang kesilapan akan mengakibatkan penyiksaan terhadap pesalah, dan mungkin tidak mengakibatkan kematian serta-merta seperti yang sepatutnya. 

Senjata ini juga mestilah cukup panjang, tajam dan teguh untuk menikam sehingga menembusi jantung pesalah. Dari situlah dapat disimpulkan kebijaksanaan orang-orang Melayu terdahulu, di mana hukuman bunuh juga dilakukan penuh adab dan berperikemanusiaan. Hanya mereka yang benar-benar layak boleh memiliki keris alang dan melaksanakan hukuman sebegini.

Bagi memenuhi fungsinya sebagai keris untuk menjalankan hukuman menyalang, keris alang mestilah mempunyai bilah yang lurus dan kuat. Keris alang biasanya diperbuat daripada besi sebatang, tanpa pamor dan dibuat lurus tanpa luk (bahagian berlekuk pada bilah keris). 

Bilah lurus membolehkan keris ditusuk terus hingga mengenai jantung pesalah. Panjang bilah keris alang biasanya dibuat antara 19 hingga 27 inchi, bagi memastikan ia dapat ditusuk hingga menembusi jantung, dan dikeluarkan semula tanpa mengakibatkan luka parah. 

Pesalah yang disalang akan mati serta-merta kerana kegagalan jantung. Pendarahan juga lebih kepada pendarahan dalaman, dan darah tidak menyembur dengan banyak kerana kedudukan tikaman pada bahagian atas jantung.

  

Oleh kerana fungsinya sebagai keris hukum dan lambang kuasa, keris alang biasanya menggunakan pakaian dan hiasan khas dan tidak sama dengan keris yang digunakan untuk bertarung. Pakaian bagi keris merujuk kepada sarung, hulu, sampir dan pendokok yang merupakan pelengkap bagi sebilah keris. 

Keris ini turut menggunakan sampir berbentuk bulan sabit, dan dipakaikan hulu mengikut citarasa kedaerahan atau negeri. Sebagai lambang kuasa, keris alang adalah anugerah daripada Raja, dan tidak semua orang boleh memilikinya. 

Dalam sistem pemerintahan moden kini, keris alang tidak lagi digunakan dalam hukuman bunuh namun, masih dikekalkan sebagai antara alat kebesaran Raja bagi sesebuah negeri atau negara.  


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

سورة ڤاليڠ ڤينديق، تنتڠ سوڠاي دالم شرݢ

اوليه نيتا دهنينسماس ڤريستيوا اسراء دان معراج، رسول الله صلى الله عليه وسلم برسبدا، “كتيک اكو برجالن مڠليليڠي شرݢ،...

More Articles Like This