SEORANG pemandu ditemui mati rentung di dalam sebuah Perodua Kancil yang terbakar di Jalan Shapadu, Kampung Sungai Pinang, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kejadian pada pukul 5.27 pagi.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba tiba 10 minit kemudian dan mendapati Perodua Kancil telah musnah terbakar sepenuhnya.

“Terdapat seorang mangsa yang identiti tidak dapat dipastikan turut rentung terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki berusia lingkungan 70-an.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan mati mengejut akan dibuka untuk memastikan punca kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Vijaya Rao berkata polis meminta orang awam yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berhubung insiden terbabit untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Bandar Baru Klang.