- Gambar hiasan Freepik

Dua lagi individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mohd Zaidi Mohd Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki terbabit kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Baca artikel : Culik warga Palestin: Polis siasat jika ada penglibatan agensi perisikan luar

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas, kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin selepas Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin memaklumkan jaminan tidak ditawarkan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Dis ini.

Pada 5 Okt, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

Pada 14 Okt lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menculik mangsa sama (Omar), bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram