Seramai 140 pelatih dan pegawai pengiring daripada Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) Kampus UITM Kota Samarahan Sarawak akan melaksanakan Bengkel di Mekah dan Madinah sebagai melengkapkan Program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah & Ziarah pada 27 Oktober.

Jurusan diploma kemahiran ini merupakan satu-satunya jurusan pertama di Malaysia dan dunia yang memfokuskan kerjaya Mutawwif Professional dan sebuah program yang mewajibkan pelatih untuk menduduki bengkel di Mekah dan Madinah bagi meningkatkan lagi pengalaman sebenar sebelum bergelar seorang Mutawwif yang Professional.

Ustaz Abd. Halim Bin Ikhsan, Pengarah Urusan Professional Mutawwif Development International College

Sepanjang bengkel, pelatih akan melakukan sendiri urusan yang melibatkan kerja lapangan seperti melakukan sendiri urusan taklimat perjalanan dari KLIA, urusan daftar masuk bagasi di KLIA sehingga urusan daftar masuk hotel, urusan imigresen, urusan ziarah dalaman di Madinah, urusan ziarah luaran Madinah, urusan ziarah luaran Mekah dan segala urusan yang melibatkan ibadah umrah dan lain-lain urusan.

Cabaran yang dihadapi pelatih untuk bengkel yang julung-julung kali ini adalah disebabkan pelatih tidak mempunyai pengalaman ke Mekah dan Madinah sementelah pula dengan keadaan norma baharu.

Tetapi dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari selama satu tahun lebih di PMDIC kampus UiTM Samarahan, mudah-mudahan dapat membantu pelatih melaksanakan bengkel dengan cemerlang.

Skop pembelajaran ini juga diperluaskan dengan menambah subjek pengurusan pelancongan agar kerjaya mutawwif pada masa akan datang tidak terhad hanya boleh membawa jemaah ke Mekah dan Madinah sahaja, malah boleh bekerjaya sebagai Muslim Tour Leader iaitu boleh membawa pelancong ke seluruh dunia melalui pakej pelancongan Muslim.

Program ini turut didedahkan dengan subjek asas Keusahawanan dalam menyediakan pakej atau penjualan produk, TITAS, asas Bahasa Arab serta subjek asas Bahasa Inggeris. Program ini juga berkolaborasi dengan universiti awam bagi subjek tambahan yang dipelajari bagi memantapkan pengajian sepanjang di PMDIC.

Lanjutan daripada pembelajaran teori, pengajian ini diteruskan lagi dengan bengkel di Tanah Suci sebelum menghadapi latihan di Industri Pelancongan Umrah dan Ziarah selama empat Bulan.

Pengalaman ini dipercayai mampu meningkatkan lagi mutu kebolehpasaran graduan melalui peluang kerjaya dalam bidang mutawwif yang professional dan lebih terancang.

Pada tahun hadapan, dijangka seramai 500 pelatih dari PMDIC kampus UiTM Mukah, PMDIC kampus UiTM Melaka, PMDIC kampus SiDMA Kuching, PMDIC kampus SiDMA Sabah, PMDIC kampus UTHM, PMDIC kampus UPSI dan PMDIC kampus UCYP akan melaksanakan Bengkel di Mekah dan Madinah.

PMDIC juga bakal melebarkan sayapnya ke beberapa Negara ASEAN antaranya Singapore, Brunei dan Indonesia pada tahun hadapan.