Menurut kamus Idris Al-Marbawi, ‘tahnik’ bermaksud lelangit di dalam mulut. Secara umum, ia bermaksud membelah mulut bayi dengan buah tamar yang dikunyah dan digosokkan ke lelangit bayi, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perutnya.
Terdapat beberapa hadis sahih menyebut tentang amalan tahnik ini. Daripada Aisyah r.a, katanya : “Kanak-kanak lelaki dibawa menemui Rasulullah SAW, lalu baginda mendoakannya semoga diberkati Allah dan mentahniknya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Sama seperti aqiqah, hukum tahnik adalah sunat. Ia merupakan satu amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita. Kebiasaannya, bayi yang baru lahir dibawa menemui alim ulama untuk ditahnik dan didoakan agar beroleh kebaikan dan keberkatan.
Dalam sesetengah tempat, masyarakat kita turut memanggil amalan tahnik ini dengan istilah ‘belah mulut’. Orang dahulu juga percaya amalan ini membantu bayi itu mudah bercakap apabila membesar kelak.
Baru-baru ini, Masjid Al Ikhlasiah yang terletak di Jalan Pantai Permai 7, Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur telah menjayakan majlis tahnik secara beramai-ramai.
Majlis yang berlangsung selepas solat Maghrib itu menghimpunkan 11 orang bayi bersama ibu bapa masing-masing. Ketibaan mereka diiringi dengan paluan kompang dan bacaan selawat.


Bayi-bayi berusia antara seminggu sehingga setahun lebih itu ditahnikkan oleh Dr Haji Jahid bin Haji Sidek Al-Khalidi, seorang ulama dan pakar rujuk bidang tasawuf, selain merupakan pengamal perubatan Islam.
Menurut Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah, Haji Abbas Mohamed Khatib, 64, asalnya mereka merancang membuat majlis kecil yang hanya melibatkan dua atau tiga orang bayi sahaja.

“Tak sangka dapat sambutan luar biasa daripada penduduk di sini. Daripada hanya dua tiga orang asalnya, ramai yang mahu turut serta mentahnikkan anak-anak mereka. Pihak AJK masjid mengambil masa seminggu untuk merancang dan menjayakan majlis ini,” kata Haji Abbas ketika ditemui pada majlis tersebut.
Ibu bapa yang terlibat dalam majlis tahnik ini tidak dikenakan sebarang bayaran. Semuanya disediakan percuma oleh pihak masjid. Dr. Haji Jahid pula dipilih untuk mentahnikkan bayi-bayi tersebut kerana beliau merupakan penceramah tetap yang diundang setiap bulan ke masjid itu.
Majlis yang berlangsung dengan meriah itu bukan hanya mengeratkan silaturrahim kariah di situ, tetapi juga sebagai salah satu aktiviti untuk mengimarahkan masjid.
Haji Abbas berkata, di masa hadapan mereka merancang untuk mengadakan lagi majlis sebegini. Malah, tidak terhad hanya untuk tahnik semata-mata bahkan juga untuk cukur jambul, kenduri akikah dan marhaban.




Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram