PADA awal abad ke-21, kebanyakan para ilmuwan masih belum mengetahui dengan tepat berapakah jumlah sendi di dalam tubuh manusia.

Rata-ratanya cuma menyebut secara anggaran jumlah tulang dalam kerangka tubuh manusia adalah antara 200 hingga 300. Manakala, sekitar 100 hingga 300 pula terdiri daripada sendi.  Bahkan, sejumlah besar ensiklopedia dunia terdahulu juga tidak mengklasifikasikan perkara itu secara terperinci.

Berapakah jumlah sebenar sendi manusia? Sebenarnya, jumlah tepat sendi manusia telah lama diketahui oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu sejak 1,400 tahun dahulu lagi.

Daripada Aisyah r.a bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud, “Anak Adam itu diciptakan di atas 360 sendi tulang. Setiap 360 tulang sendi itu hendaklah diberikan sedekah pada setiap hari.” (Riwayat Imam Muslim)

Dari sudut pembuktian saintifik, jumlah sendi dalam badan manusia yang disebut oleh Rasulullah s.a.w itu adalah bertepatan dengan penemuan sains.

Sebelum ini, maklumat saintifik tentang jumlah sendi manusia hanya dalam lingkungan sekitar 300 hingga 340. Pada masa itu, berlaku kontradiksi mengenainya terutama berhubung pembuktian saintifik.

Hanya diketahui sekitar tahun 1990-an, apabila ahli sains membuat kajian selanjutnya dan menjumpai sesuatu yang selama ini para sarjana terlepas pandang. Rupanya, apabila diteliti dalam bahagian telinga didapati alat pendengaran juga mempunyai sendi-sendi – sebanyak 10 sendi di sebelah kanan dan 10 lagi di bahagian kiri telinga. Apabila dicampurkan keduanya dengan jumlah sendi yang sedia ada – 20 + 340, maka lengkaplah jumlah sendi manusia sebanyak 360 kesemuanya.

Seorang ilmuwan Islam, Dr. Hamid Ahmad Hamid dalam bukunya berjudul Rihlah Al-Iman fi Jism Al-Insan turut menyebut bahawa jumlah sendi dalam tubuh manusia adalah sekitar 360, sebagaimana yang pernah diucapkan oleh Nabi pada awal abad ketujuh dulu.

Dr. Hamid telah mengklasifikasikan secara terperinci bahagian-bahagian sendi dalam tubuh manusia. Berdasarkan perincian yang dilakukannya menunjukkan tulang belakang manusia memiliki 147 sendi, dada memiliki 24 sendi, bahagian atas tubuh dan bawah tubuh masing-masing mempunyai 86 sendi dan 92 sendi, manakala daerah sekitar perut pula memiliki 11 sendi. Jumlah keseluruhannya ialah – 147 + 24 + 86 + 92 + 11 = 360.

Tulang dan sendi merupakan dua perkara berbeza dari segi istilah perubatan. Tulang ialah rangka tubuh manusia untuk melindungi organ lembut dan sensitif. Ia bersifat keras dan boleh dirasa. Tanpanya, kita tidak dapat bergerak, duduk, berjalan dan sebagainya. Hanya dengan adanya tulang, kita boleh melakukan semua aktiviti itu.

Dikirakan, setiap manusia dewasa baik lelaki mahu pun perempuan mempunyai jumlah tulang yang sama iaitu sebanyak 208. Dalam tulang tersebut, terdapat banyak sendi.

Sendi pula berbeza dengan tulang kerana ia merupakan tempat perhubungan tulang-tulang atau pertemuan dua ruas tulang. Jumlahnya seperti yang disebutkan oleh Nabi dalam hadis sahih dan dibuktikan secara saintifik iaitu 360.

Sendi manusia secara umum dikategorikan kepada tiga jenis. Sendi pertama ialah tidak boleh bergerak seperti tengkorak. Kedua, pergerakannya terkawal dan sedikit sahaja, contohnya tulang belakang.

Manakala kategori ketiga ialah seperti mana yang diketahui ramai iaitu bergerak atau disebut sebagai sendi sinovial – cecair yang menjadikan struktur menjadi licin dan mudah bergerak. Sendi jenis ini biasanya terdapat pada bahagian bahu, siku, pergelangan tangan dan kaki, jejari, lutut dan tulang belakang.

Allah S.W.T sengaja menciptakan sedemikian bagi membolehkan bahagian tubuh manusia mudah bergerak dan fleksibel. Tanpa persendian yang telah disiapkan oleh Allah ini, sudah tentu sebahagian besar kerangka manusia yang keras akan terus menjadi kaku dan tidak bergerak. Keadaan tidak fleksibel ini sudah pasti akan menyebabkan manusia menghadapi pelbagai kesulitan dan kesakitan.

Di sinilah kenapa Nabi berpesan kepada manusia untuk bersyukur kepada Allah. Cara bersyukur itu adalah dengan bersedekah minima sejumlah sendi (360) yang ada dalam tubuh kita pada setiap hari.

Untuk melakukan sedekah sebanyak 360 pada setiap hari sebenarnya tidak susah. Ini kerana, setiap perbuatan baik dan amal ibadat, baik dengan cara menolong orang, bertasbih, bertahmid, tahlil, berzikir dan menyeru orang berbuat baik, setiap satu daripadanya akan dikira satu sedekah. Oleh itu, melakukan sedekah untuk 360 tulang sendi dalam satu hari sebenarnya bukanlah sesuatu yang membebankan.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram