Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) dijangka bertanding lebih tiga perempat daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN sudah memutuskan untuk tidak bertanding di semua 222 kerusi Parlimen dan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi sedang diteliti.

“Jumlah (sebenar) kerusi yang kita akan bertanding diumumkan kemudian. Kalau di tempat itu kita dapati perlu kita tandingi dan mempunyai ruang dan kesempatan atau sebagainya, kita akan bertanding.

“Semua ini sudah pun dalam peringkat akhir untuk kita selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas sesi sembang santai bersama masyarakat Cina di Bukit Kepong, hari ini.

Presiden Bersatu itu berkata semalam telah diumumkan mengenai gabungan itu sudah selesai mengadakan pembahagian kerusi dan hari ini, PN akan melihat dan meneliti nama-nama calon yang telah dihantar oleh semua bahagian Bersatu serta parti komponen PN seluruh negara.

“Kemungkinan besar akan membuat pengumumannya (calon PN) pada awal November. Kita akan putuskan pada 2 atau 3 November dan perlu mendapatkan pengesahan daripada rakan-rakan parti komponen sama ada mereka sudah siap,” kata Muhyiddin, yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh.

Baca artikel lain: MPN untuk pulihkan negara, bukan kepentingan peribadi – Muhyiddin

Beliau berkata calon PN juga perlu ‘lulus’ empat saringan merangkumi saringan rekod keselamatan dan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selain calon terbabit tidak diisytiharkan bankrap.

Muhyiddin berkata selain itu, turut dilihat syarat-syarat lain yang telah ditetapkan parti seperti kelayakan, pengalaman, pengurusan, hubungan dengan masyarakat dan rekod yang baik.

Dalam masa yang sama, beliau berkata manifesto PN akan dilancarkan awal bulan depan, selepas hari penamaan calon pada 5 November ini.

“Nanti kita akan jelaskan apa yang kita tawarkan untuk rakyat. Ini penting, semua perkara termasuk komitmen kita untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam pembentangan Bajet 2023, yang tidak dibahas dan tidak diluluskan lagi.

“Malahan kita meneliti perkara itu dan menambah baik jika ada keperluan, kita akan lakukan. Kita akan utamakan kepentingan rakyat dan antara langkah penting adalah bagaimana nak membantu golongan rentan yang terkesan disebabkan COVID-19,” katanya.

-BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram