Amira Aisya Abd Aziz - Gambar FB

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan telah pun memuktamadkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu daripada pakatan pilihan raya gabungan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu diumumkan sendiri Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd. Aziz dalam sidang media, hari ini.

Menurut Amira Aisya, terdapat tiga perkara utama yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak sebagai pakej menjadi pakatan pilihan raya.

Beliau berkata, MUDA bersama PH telah sebulat suara bersetuju untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi PRU-15.

“Kedua, menerusi rundingan tersebut, kita telah bersetuju untuk memenangi PRU-15, kita akan pastikan bahawa tiada pertembungan kerusi antara MUDA dan PH.

“Ketiga, dalam pakej pakatan pilihan raya itu juga telah dipersetujui MUDA mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan logo sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai pertembungan kerusi yang mencetuskan suasana tidak harmoni antara kedua-dua parti itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, Amira Aisya memberi jaminan perkara tersebut tidak akan berlaku lagi kali ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, MUDA dan PH juga telah bersetuju untuk menggunakan manifesto yang sama.

“Sebagai ketua rundingan dan pengarah pilihan raya MUDA, saya percaya rundingan dengan PH telah berjaya diselesaikan dengan sangat baik.

“Kedua-dua pihak memberi jaminan untuk memastikan tiada pertembungan kerusi, saya rasa itu satu jaminan agak jelas yang membuktikan komitmen kedua-dua belah pihak.

Baca artikel berkaitan: Rundingan agihan kerusi MUDA, PSM dengan PH diketahui Sabtu ini

“Jaminan itu juga satu isyarat kepada semua akar umbi, pimpinan dan rakyat Malaysia amnya bahawa kerjasama MUDA serta PH dalam PRU-15 ini adalah kukuh dan kuat dengan kami bertekad untuk menawan Putrajaya bersama,” jelas beliau.

Sementara itu, MUDA turut mengumumkan tiga calonnya bagi kerusi Parlimen iaitu Danial Abdul Majeed di kerusi Parlimen Kepala Batas; Siti Rahayu Baharin atau Cikgu Rahayu di kerusi Parlimen Tanjong Karang dan Lim Wei Jiet di kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Mengulas mengenai ketiga-tiga kerusi tersebut, Amira Aisya berkata, walaupun bakal menempuhi tugas sukar dengan dijangka menghadapi ‘gergasi’, namun MUDA mengambil tanggungjawab untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan.

Malah, beliau berkata, ketiga-tiga calon itu juga menggambarkan semangat MUDA yang sebenar dengan aktif berkhidmat di lapangan serta sentiasa menyuarakan pendapat dan idea untuk memastikan Malaysia kembali berdaya maju.

“Bukan tiga kerusi sahaja MUDA bertanding, ada beberapa kerusi lagi tetapi kami akan umumkan secara berperingkat.

“Kesemua kerusi ini merupakan kerusi ‘gergasi’ di mana kita akan lihat dalam PRU-15 ini, MUDA akan lawan menteri.

“Ada satu kerusi kita akan umumkan di Sabah pada 31 Oktober ini,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram