PENYANYI Nuha Bahrin berharap diberikan kekuatan untuk memaafkan individu yang kembali menularkan video nyanyiannya dalam sebuah pertandingan realiti sebelum ini.

Ujar Nuha,22, sebagai seorang yang beragama Islam, dia tidak berdendam namun mengakui terkilan apabila ahli keluarga terutama ibunya terkesan dan sedih melihat dirinya menjadi mangsa buli siber.

“Siapa yang tularkan semula video itu, saya tak ada apa nak katakan tetapi sebagai seorang yang beragama Islam, saya berharap diberikan kekuatan untuk memaafkan anda.

“Saya tak kisah kalau anda nak burukkan saya tetapi bila sudah libatkan keluarga, ia cukup melukakan hati saya.

“Ibu dan bapa saya melihat dan baca semua komen-komen negatif yang dilemparkan kepada saya.

“Sebenarnya dalam tak sedar perkara tersebut memberi impak terhadap orang sekeliling saya. Malah, tindakan itu juga mengajak untuk lebih ramai membenci orang lain,” katanya kepada URTV.

Nuha berkata demikian ketika pada majlis kesyukuran lagu Casablanca di Universal Music, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terlalu sebak hingga mengalirkan air mata sewaktu ditemu ramah pihak media, Nuha turut memohon orang ramai untuk tidak ‘mengheret’ ahli keluarganya jika tidak berpuas hati dengan cara nyanyiannya.

“Siapa yang tak terluka bila tengok ibu sendiri menangis kerana tanpa henti dikecam dan menjadi mangsa buli siber.

“Sepatutnya saya seorang sahaja yang rasa sakit bukan ibu saya. Sebab saya sendiri memilih jalan ini.

“Saya juga pernah merayu pada ibu untuk tidak membaca komen-komen negatif. Tak adil lah kan mereka terluka sebab mereka tak bersalah pun,” tegasnya.

Sementara itu, Nuha tetap optimis dan berfikiran positif setiap kritikan yang diberikan kepadanya.

Malah, dia mahu menjadikan setiap kecaman itu sebagai satu peringatan untuk tidak lagi mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

“Saya tetap positif dan semua kritikan yang diberikan untuk saya itu akan dijadikan panduan serta peringatan agar tidak lagi melakukan hal sama.

“Tak mengapa…terima kasih beri peringatan kepada saya. Saya rasa sekarang ini kualiti nyanyian saya semakin bertambah baik.

“Mungkin tak sesedap yang orang sangkakan atau tidak mencukupi. Tidak mengapa sebab saya rasa masih banyak lagi yang harus saya pelajari,” luahnya.

Sekitar Oktober 2020, Nuha dikritik sehingga dilabel sebagai perosak lagu untuk lagu Kekasih Awal dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dalam pertandingan realiti Vokal Mania.

Kini, dia kembali menjadi bualan ramai selepas lagu duetnya bersama Naufal Azrin, Casablanca meledak sehingga ke Indonesia.