FAUZIAH NAWI terharu dan gembira menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022. FOTO Bernama

MALAM kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) menyaksikan pelakon senior, Fauziah Nawi diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa yang berlangsung, malam tadi.

Selain layak menerima wang tunai RM10,000, Fauziah juga dikejutkan dengan sebuah hadiah kereta jenis Mitsubishi Xpander sumbangan EON.

Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Fauziah selepas menerima replika kunci kereta, dia begitu terharu dengan kejutan yang terima pada malam anugerah yang penuh berprestij itu.

“Sebenarnya Allah sangat baik dengan saya. Saya dah tiada kereta sebab terbakar empat tahun lalu.

“Saya kata pada diri saya sebelum ini, saya tak akan mampu beli kereta baharu sebab mesti tak lepas pinjaman (loan) sebab saya sudah tua.

“Akhirnya, Allah makbulkan doa saya pada malam ini. 50 tahun dalam industri seni, tak pernah saya fikir nak dapat anugerah. Saya berbesar hati dengan penganugerahan ini,

“Semua ini untuk anak seni, buat terus. Kita buat kerana kita nak buat, bukan kerana anugerah,” katanya.

ASA2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu dihoskan oleh Fara Fauzana, Terrence Dass dan Anne Xaveira.

Malah ia turut disiarkan secara langsung di TV2.

Turut hadir ialah, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Ia turut dimeriahkan dengan persembahan barisan artis terkenal antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk M.Nasir, Misha Omar, Ella, Hazama, Haqiem Rusli, Tajul, Wani Kayrie dan ramai lagi.

Dalam pada itu, dua anugerah kemuncak iaitu Dokumentari TV Terbaik dimenangi Social Playlist oleh Herbert Pua Kuo Jie membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM150,000

Drama TV Terbaik pula dimenangi Pencipta Pegang Waktu oleh Nor Shahila Harun Shah dan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan DKD sebanyak RM200,000.

Drama Pencipta Pegang Waktu turut memenangi kategori Pengarah Drama Terbaik menerusi arahan Zainorhisyam Samudin.

Pelakon Eman Manan berjaya memenangi kategori Pelakon Lelaki Drama Terbaik menerusi drama Satu Kampung Dua Orang (Astro Citra). Sementara aktres Khatijah Tan dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Drama Terbaik menerusi Rabak (TV3).

Pemberian DKD ialah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang bertujuan membantu serta menggalakkan pengamal industri kreatif menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa terutama dalam fasa pasca-COVID-19.

ASA 2022 kembali setelah menyepi enam tahun dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Acara berprestij itu berlangsung selama dua hari yang bermula semalam bertujuan meraikan penggiat seni dan para karyawan.

Dan pada malam kemuncaknya semalam (Ahad), sebanyak 34 kategori telah disampaikan kepada pemenang.