pembunuh tidak tahu kenapa membunuh
Sekadar gambar hiasan

Dari Amir bin Sa’ad dari ayahnya katanya, “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. datang dari daerah perbukitan. Ketika beliau sampai di Masjid Bani Mu’awiyah beliau masuk ke masjid lalu solat dua rakaat. Kami pun solat pula bersama-sama dengan beliau.

Beliau berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa Baginda berpaling kepada kami lalu bersabda,

“Aku memohon kepada Tuhanku tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhanku supaya jangan membinasakan umatku  dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan.

Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan itu tidak diperkenankan.” (HR Muslim)

Apabila berlaku pembunuhan umat Islam yang tidak berdosa dan banyaknya pembunuhan atas alasan yang kadang-kadang kurang munasabah. Mengingatkan hal ini, Rasulullah s.a.w. pernah qiamullail pada suatu malam yang diperhatikan oleh para sahabat sebagai sangat pelik kerana Rasulullah membaca satu ayat al-Quran dan mengulang-ulangnya sampai subuh.

Selesai subuh para sahabat bertanya kepada Nabi,

“Peliknya solatmu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab,

“Itu solat seorang yang mengharap dan takut. Aku bermohon dari Tuhanku tiga perkara, dua diizinkan dan satu tidak diperkenankan. Aku memohon agar Allah tidak menghancurkan umatku dengan kemarau seperti umat nabi Yusuf, Allah memperkenankannya.

Aku juga memohon agar umatku tidak dihancurkan dengan banjir besar seperti Nabi Nuh pun dimakbulkan. Aku bermohon  agar umat ku tidak berpecah atau bersengketa sesama mereka, yang itu Allah tidak makbulkan. Dan Allah memberitahu ia akan menjadi fitnah kepada umatku, saling bertelagah.”

Menurut Dr. Mohd Arif Nazri, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hadis di atas disokong pula oleh satu hadis lain. Sabda Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya di kalangan kamu yang panjang umur kamu akan nampak perbezaan, khilaf, pergaduhan, percaturan dan persengketaan yang banyak.”

Sememangnya, menjadi fitnah akhir zaman bahawa manusia itu akan sentiasa berada di dalam pergaduhan dan peperangan seperti yang berlaku pada hari ini. Apa yang telah berlaku hari ini adalah kebenaran kepada sabda Rasulullah s.a.w. dan kita telah melihatnya berlaku di hadapan mata. Nabi juga pernah bersabda,

“Aku tidak bimbang kamu syirik, aku bimbang kamu terbuka pada Rom dan Parsi akhirnya kamu kaya dan saling berbunuhan-bunuhan.”

Memang benarlah kekayaan akan menyebabkan umat Islam saling bermusuhan dan berbunuh-bunuhan. Itulah perkara yang dibimbangi oleh Rasulullah dan ia telah pun berlaku. Kita melihat pembunuhan hari ini tidak lain adalah untuk merebut kekuasaan, kekayaan dan harta atau juga perkara-perkara yang dianggap remeh. Dan, ia benar-benar berlaku.

Sabda Rasulullah s.a.w.,

“Demi Allah yang nyawaku dalam kuasa-Nya, kelak akan datang suatu masa di mana seorang pembunuh tidak tahu untuk apa dia membunuh; sedang korban yang tewas tidak tahu pula kerana apa dibunuh.”

Menjelaskan hadis itu, Dr. Mohd Arif berpendapat disebabkan pembunuhan begitu banyak dan nyawa amat murah hinggakan orang tidak sedar mengapa terjadinya pembunuhan. Ini bagi menegaskan bahawa begitu banyak pembunuhan yang berlaku pada akhir zaman, seperti yang berlaku hari ini dipaparkan di dada akhbar berlaku pembunuhan kejam setiap hari.

Bayangkan bagaimana seseorang itu dibunuh dan menjadi pembunuh hanya kerana isu kecil seperti bergaduh sesama jiran disebabkan najis kucing, bergesel kereta di jalanan, ejek-mengejek, berebutkan teman wanita sehingga hanya kerana berebut siaran televisyen dan banyak lagi perkara yang kita anggap tidak seharusnya berlaku.

Jika dahulu orang melihat pembunuhan sebagai sesuatu yang tidak harus berlaku tetapi apabila setiap hari berlaku, ia sudah menjadi seperti satu kebiasaan. Sehingga orang membunuh tidak tahu mengapa ia membunuh dan yang dibunuh tidak tahu mengapa dia dibunuh.

Ia adalah tanda kiamat yang sudah semakin hampir sebagaimana yang disebut Baginda s.a.w. Dan ini jugalah doa Baginda s.a.w. yang tidak diperkenankan Allah sebagaimana disebut di atas.

Oleh itu sebagai umat Islam bersedialah kita dari sekarang. Perbanyakkan amal ibadah dan berdoa kepada Allah agar dilindungi dan dipelihara dari melakukan kekufuran atau kemungkaran.

Kita tidak tahu apa akan terjadi pada kita beberapa detik mendatang. Boleh jadi dalam sekelip mata tanpa kita sedari mungkin kita sudah menjadi pembunuh atau terbunuh. Dan ketika itu sudah pasti tiada guna penyesalan andai satu nyawa tergadai hanya kerana tindakan kita yang lebih emosi dari akal. Wallahu a’lam

_____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram