PERKAHWINAN penyanyi terkenal Salamiah Hassan, 71, hanya mampu bertahan dua bulan apabila suaminya, Gerry Hughes, 68, disahkan meninggal dunia pagi, semalam.

Khabar duka itu dikongsikan sendiri oleh anaknya yang juga penyanyi Atilia Haron kepada Harian Metro.

“Kami sekeluarga menerima berita pemergian Gerry Hughes pada Jumaat pagi dan mama sedang dalam perjalanan ke Tasmania, Australia.

“Kami harap semua dapat memberikan masa untuk kami meratapi pemergian yang mengejutkan ini. Al-fatihah,” katanya.

Ujar Atilia, ketika ini dia tidak dapat berkongsi punca kematian Allahyarham kerana masih menunggu perkembangan daripada ibunya

“Nanti bila mama sampai rumah sana saya maklumkan. Saya nak tunggu mama sampai Tasmania untuk maklumkan kepada kami.

“Mama berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri undangan persembahan,” jelasnya.

Difahamkan, Hughes merupakan pesakit kanser.

Sebelum ini, Salamiah melangsungkan pernikahan dengan Hughes yang berasal dari Liverpool, England dan menetap di Australia pada 1 September lalu.

Salamiah dan Hughes yang juga kenalannya sejak 15 tahun lalu dinikahkan di Burnie, Tasmania.

Ini merupakan perkahwinan kedua Salamiah sekeoas bercerai dengan bekas suaminya, Allahyarham Raja Haron Raja Aziz pada 1986.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Atilia dan Raja Ahmad Shah.

Allahyarham Raja Haron meninggal dunia pada 28 Julai lalu akibat masalah jantung.