
CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhadapan cabaran sengit bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ia selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah bertanding di kawasan sama dalam pertandingan empat penjuru.
Cabaran sengit itu juga bakal hadir daripada calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir.
Pengumuman empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tambun, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip pada 10.35 pagi selepas proses penamaan calon berjalan lancar dan ditutup pada 10 pagi.
Baca artikel berkaitan: PRU-15: Ismail Sabri pertahan Bera pertembungan tiga penjuru
Anwar tiba di pusat penamaan calon pukul 8.58 pagi manakala Aminuddin dan Ahmad Faizal masing-masing sampai pada 8.50 pagi dan 9 pagi, sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh Meru hari ini.
Suasana pekarangan pusat penamaan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong calon bertanding sebagai tanda sokongan dengan ada yang membawa sepanduk, bersorak serta mengalunkan selawat sepanjang calon masuk ke pusat penamaan calon.
Perkarangan tersebut turut dikawal ketat polis dengan memasang penghadang untuk mengelakkan berlakunya pertembungan penyokong.
Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Ahmad Faizal atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, menewaskan calon BN dan PAS sebanyak 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram