PENYANYI rap, Aaron Carter, 34, yang juga adik kepada anggota kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter ditemui mati lemas dalam tab mandi di kediamannya di Lancaster, California, Amerika Syarikat (AS), pagi semalam.

Khabar duka itu disahkan oleh wakil pengurusannya, Big Umbrella tanpa mendedahkan punca kematian mendiang.

“Sekarang adalah masa yang sangat sukar dan kami sedang mengenal pasti situasi yang berlaku di samping punca kejadian,” katanya.

“Kami juga bersedih seperti orang lain dan berharap agar peminat dapat berkongsi kesedihan itu dengan keluarganya dan memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Nick Carter dan Aaron Carter

Memetik laporan TMZ, pihak polis Los Angeles menerima laporan kecemasan pada pukul 11 pagi (waktu tempatan).

Aaron memulakan karier seninya sebagai penyanyi jemputan di konsert pembukaan siri jelajah kumpulan Backstreet Boys.

Pada hujung tahun 1990-an dan awal 2000-an, Aaron mengecap populariti apabila empat album studio terjual jutaan unit sejak ia diterbitkan pada usianya sembilan tahun (1997).

Kali terakhir Aaron menerbitkan album ialah pada 2018 menerusi karya LOVE.

Sebelum ini menerusi satu wawancara, Aaron pernah mendedahkan dirinya bertarung dengan masalah mental antaranya kecelaruan identiti, skizofernia dan kemurungan.