Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) didakwa, memiliki standard atau ‘benchmark’ yang lebih rendah daripada Perikatan Nasional (PN) dalam isu integriti.

Ini selepas mereka yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas kesalahan jenayah rasuah masih dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan pimpinannya memandang berat isu integriti dan kerana itu semua calon PN diwajibkan untuk membuat akujanji anti rasuah.

“Jika mereka didapati ada kes jenayah, sedang disiasat oleh SPRM atau sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah atas kesalahan rasuah, mereka tidak dibenarkan bertanding.

“Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mungkin mempunyai standard atau benchmark yang lebih rendah daripada Perikatan Nasional dalam isu integriti.

“Tetapi tidak mengapalah. Itu masalah mereka, bukan masalah kita. Saya yakin rakyat tahu menilai siapa yang lebih komited dan rela berkorban semata-mata untuk memastikan negara kita bebas rasuah dan terselamat daripada cengkaman kleptokrat,” katanya.

Baca artikel lain: Tawaran PN BEST: Sejuta peluang pekerjaan disediakan sekiranya diberikan mandat

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, malam ini.

Muhyiddin berkata, sebagai komitmen mewujudkan kerajaan berintegriti dan bebas rasuah, PN akan terus mempertahankan amalan pemisahan kuasa bagi tiga cabang kuasa iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

“Kita juga akan melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung kedaulatan undang-undang tanpa campur tangan politik selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

“Sebagai menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, sistem perundangan dan kehakiman syariah akan turut diperkasakan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram