Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri beramah mesra dengan rakyat pada program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan.

KERAJAAN telah pun membuktikan apa yang telah pun dilakukan demi kepentingan rakyat berbanding hanya menabur janji menerusi manifesto.

Perkara itu juga menjadi tunjang kepada kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kali ini.

Menurut Perdana Menteri, rakyat mahukan maklumat tentang apa yang telah dan akan kerajaan laksanakan melalui inisiatif yang dirangka.

Kata beliau, Bajet 2023 merupakan inisiatif besar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang akan dilaksanakan sekiranya mandat terus diberikan, bukan sekadar manifesto yang belum pasti dilakukan.

“Kita terangkan apa yang telah dan akan dilaksanakan, malah perkara itu ada dalam Bajet 2023 yang telah pun dibentangkan.

“Kita tak bohong, seperti yang telah saya sebutkan beberapa kali, kalau manifesto itu, kewangan pun tidak tahu ada atau tidak.

“Namun, kita dah bentangkan Bajet 2023 yang telah pun mempunyai dana, duit dah ada cuma pelaksanaan sahaja. Ini janji kita untuk dilaksanakan akan datang,” katanya.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Kempen secara santai dan harmoni pilihan Ismail Sabri, elak serangan peribadi

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Bera berkata, serangan bersifat peribadi sewaktu kempen merupakan strategi lama.

Kata beliau, pengundi terutama golongan muda dan pengundi baharu mahu mendengar fakta, bukannya serangan peribadi.

“Pemikiran pengundi dah berbeza, mereka tak suka mendengar serangan peribadi yang kadang-kadang kurang tepat faktanya.

“Kita bersandarkan kepada fakta. Ini yang saya dah buat dan akan buat untuk kepentingan mereka.

“Kalau mereka pilih kerajaan ini, mereka dah tau apa yang mereka akan dapat dan atas sebab itu saya tak berikan fokus langsung untuk menyerang sesiapa.

“Bagi saya, apa produk yang kita nak jual, kita terangkan, bukannya dengan memburukkan produk orang lain,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram