PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui kualiti nyanyiannya sedikit terganggu gara-gara mengalami masalah pernafasan selepas dijangkiti wabak Covid-19.

Menurut Siti, sebagai seorang penyanyi, suara adalah salah satu aset penting dan kesan daripada virus tersebut, nafasnya menjadi pendek dan ini menyukarkan dirinya untuk menyanyi lagu bernada tinggi.

Justeru, penyanyi Jerat Percintaan itu kini dalam usaha untuk mengembalikan stamina dengan menyertai kelas mempertahankan diri, Muay Thai.

“Sekarang ini saya aktif dengan sukan Muay Thai untuk kembalikan stamina dan salah satu langkah untuk kuatkan sistem pernafasan.

“Alhamdulillah, selepas beberapa kali latihan Muay Thai, saya dapat rasai banyak perubahan dari segi pernafasan.

“Mungkin akan ambil masa sedikit untuk dapatkan ‘range’ suara yang mampu untuk saya capai,” katanya kepada URTV.

Siti berkata demikian pada sidang media selepas selesai membuat persembahan hari pertama Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menampilkan Datuk Awie sebagai penyanyi jemputan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, semalam.

Dalam pada itu, Siti turut mendedahkan dirinya mengalami bronchitis ringan selepas disahkan oleh doktor sekitar September lalu.

Sebagai langkah pencegahan, dia perlu menitik beratkan soal pemakanan selain perlu mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sebagai penyanyi perkara yang saya nak elakkan untuk dijangkiti ialah batuk dan selesema.

“Sebab bila dah terkena dengan virus ini, pada waktu malam saya akan mudah alami asma dan sukar untuk tidur.

“Bila doktor sahkan saya kena bronchitis ringan, saya kena jaga makan selain kena lebih buat senaman berkaitan paru-paru.

“Ada juga yang cadangkan berenang dan saya turut lakukan aktiviti tersebut di rumah,” ujarnya.

Pada Ogos lalu, Siti memaklumkan bahawa dia baharu sembuh daripada Covid-19 selepas pulang dari bercuti di London.

Bercakap mengenai konsertnya itu, Siti menyanyikan 17 buah lagu antaranya Warna Dunia, Anta Permana, Diari Hatimu, medley Kuasa Cintamu dan Bukan Cinta Biasa, Ya Maulai dan Nian Di Hati.

Selain itu, Siti turut berduet dengan Awie menerusi lagu Baldu Biru dan Pantun Budi.

“Saya bersyukur dengan latihan rapi, saya yakin mampu buat yang lebih baik pada hari kedua (malam ini).

“Konsert ini sebenarnya adalah persembahan eksklusif untuk mengutip dana di bawah Yayasn Nurjiwa.

“Alhamdulillah, sejak hari pertama kami umumkan akan menganjurkan konsert ini, ramai yang berminat membeli tiket,” jelasnya.