Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada acara pelepasan peserta Larian Anak Sarawak LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run 2022, malam tadi. GAMBAR: Twitter Kementerian Kerja Raya

ACARA Larian Anak Sarawak yang merentasi terowong Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada waktu malam telah mencipta sejarah sekali gus diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan memaklumkan, acara Larian Anak Sarawak LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run 2022 yang dianjurkan malam tadi itu merupakan siri pertama larian dalam terowong pada waktu malam.

Menurut LLM, seramai 5,000 peserta telah mengambil bahagian dalam acara larian berkenaan.

Katanya, Larian Anak Sarawak itu juga telah menarik perhatian peserta daripada beberapa negara seperti Kenya, Perancis, India, Myanmar, Afrika Selatan, Pakistan, Sepanyol, China, Rusia, Nepal, Jepun, Filipina, Thailand dan Belanda.

“Acara larian ini telah dirasmikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi kategori Super Sonic 12 kilometer (km) manakala kategori Ultra Sonic 4 km dirasmikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Plaza Tol Kota Damansara.

“Acara ini telah dimasukkan dalam MBOR iaitu larian terpanjang melalui terowong pada waktu malam sejauh kira-kira 780 meter dan larian melalui struktur halangan bunyi sepanjang 260 meter.

“Larian Anak Sarawak LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run 2022 merupakan acara larian pada waktu malam yang pertama diadakan di terowong lebuh raya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Baca artikel berkaitan: Jangan kecewa, Muhammad Azeem sudah beri larian terbaik – Jurulatih

Larian anjuran Persatuan Sukarelawan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM, DASH dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) itu dirasmikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Fadillah dan Khairy yang turut mengambil bahagian dalam larian berkenaan melakukan ‘flagoff’ bagi dua kategori dipertandingkan iaitu Ultra Sonic untuk larian sejauh empat kilometer (km) dan Super Sonic bagi 12 km.

Lebuh raya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu, dengan pengguna menikmati perjalanan tanpa bayaran tol sehingga 30 November ini.

Pembinaan lebuh raya itu yang dimulakan pada Ogos 2016 menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram