Bendera Barisan Nasional (BN). GAMBAR BERNAMA.

EMPAT calon wanita Barisan Nasional (BN) di Kedah tekad menggalas tanggungjawab merampas kembali kerusi Parlimen yang ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Calon BN bagi Parlimen Pendang Datuk Suraya Yaacob berkata beliau mahu membantu BN memenangi kerusi di kawasan itu dan menjadi suara kepada rakyat di negeri Jelapang Padi itu, khususnya bagi golongan wanita.

Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang serta kali pertama bertanding di peringkat Parlimen berharap pengundi memberi pertimbangan yang wajar kepada calon-calon wanita yang bertanding.

“Tengok dulu calon wanita sebab bukan mudah hendak meletakkan calon wanita di satu tempat. Jadi bila BN dapat peluang untuk meletakkan 30 peratus calon wanita daripada 15 kerusi Parlimen, pengundi perlu beri pertimbangan ini.

“Tengok seorang calon (wanita) itu dulu jangan tengok parti dulu. Tengok keupayaan dan usaha gigih mereka untuk sama-sama menjadi suara wanita dan rakyat Kedah di Parlimen nanti,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bagi calon kerusi Parlimen Kuala Kedah Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang membuat kemunculan semula pada PRU kali ini bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu bagi menyumbang kemenangan di kawasan berkenaan kepada BN.

Baca artikel lain: PRU-15: Ismail Sabri kekal calon PM, ia keputusan parti – Shahril Sufian Hamdan

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu yang pernah menyandang kerusi Parlimen Baling turut menyatakan keyakinannya untuk merampas kembali kerusi Kuala Kedah sekali gus membantu BN meraih kemenangan yang besar.

“… apabila saya mendapat maklumat yang saya akan mewakili Kuala Kedah, saya telah membuat sedikit homework dan kajian dengan merangka agenda manifesto saya sendiri.

“Sebelum ini saya berkesempatan untuk adakan perjumpaan awal dengan rakyat, mereka sangat teruja menerima seorang pemimpin wanita dan pada saya itu ialah petanda awal yang akan membawa kepada kemenangan,” katanya.

Sementara itu, calon BN bagi Parlimen Sungai Petani Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berpendapat calon wanita yang diketengahkan di Kedah perlu diberi peluang untuk mewakili kerusi Parlimen di negeri itu.

Shahanim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani berkata perbezaan antara calon wanita dengan calon lelaki ialah sifat kewanitaan yang dilihat mampu menyampaikan khidmat bakti dengan lebih prihatin dan penuh belas kasihan kepada rakyat.

Calon BN di Parlimen Sik Maizatulakmam Othman @ Ibrahim juga berpendapat wakil daripada wanita perlu dipilih kerana mereka lebih memahami keperluan kaum hawa itu sendiri.

Ketua Wanita UMNO Sik itu berkata untuk memenangi kerusi itu, beliau perlu bekerja dengan lebih kuat bagi meraih undi di kawasan berkenaan yang terdiri daripada 50 peratus pengundi wanita.

“…saya telah berkhidmat selama 20 tahun dalam UMNO sendiri. Saya yakin dalam kalangan ahli parti akan bantu saya. Insya-Allah saya yakin saya akan mencapai kemenangan untuk parti,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram