PADA hujung setiap era, tinggal satu warisan dan Manchester United ialah satu daripada berpuluh-puluh kelab di dunia yang mempunyai sejarah dan budaya padat. 

Ketika zaman Sir Matt Busby ke Sir Alex Ferguson, penyokong United – tua dan muda menjadi saksi kelahiran bakat-bakat paling terunggul di dunia seperti George Best, Denis Law, Ruud Van Nistelrooy, Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo tetapi kita boleh kira pemain-pemain yang menyambung perjalanan mereka di luar padang. 

Sementara Rooney, Darren Fletcher – dan baru-baru ini Michael Carrick – menyerlah sebagai jurulatih kelab bola sepak , Roy Keane dan Gary Neville hanya mempunyai pengalaman perit dalam bidang tersebut sehingga menjadi bahan jenaka dalam kalangan bekas-bekas pemain lain. 

Dan kini, penyokong menyedari kenapa tempoh Keane dan Neville menjadi jurulatih dipendekkan.

Sejak kebelakangan ini, penyokong United semakin tidak gemar dengan legenda-legenda mereka di kaca TV sebagai pundit. Bekas-bekas pemain United memberi pandangan yang mencetuskan kritikan berat dalam media sosial terutamanya tentang isu Cristiano Ronaldo (yang dimaafkan oleh Ten Hag) dan lagak Antony dos Santos ketika menentang kelab Moldova, Sheriff Tiraspol di pentas Europa League.

Roy Keane dan Paul Scholes membuktikan bahawa menjadi pundit tidak semestinya bermakna mereka “berilmu” tentang bola sepak selepas memberikan kritikan yang membuat semua penyokong hentak kepala di meja.

Keane dikutuk dalam media sosial selepas berkata Ten Hag tidak menghormati Ronaldo dan menyatakan “pemain lain pernah buat benda lagi buruk”. Ferdinand juga menambah yang Ten Hag tidak memberikan panduan kepada Ronaldo tentang posisinya di kelab.

Tetapi bukankah mereka orang sama yang berkata kepada musim lepas yang United dibelenggui masalah “player power” dan tidak mempunyai disiplin?

Jadi kenapa bila soal Ronaldo, tiba-tiba pemain “layak” buat perangai?

Kritikan mereka kepada Ten Hag dan pemain lain bukan sahaja memalukan, namun kelihatan “memilih” di mata penyokong yang berasa pemain lama United tidak mahu kelab mereka berjaya.

Mungkin Keane beremosi kerana apa yang terjadi kepada Ronaldo pada minggu lepas pernah berlaku kepadanya ketika Sir Alex Ferguson membuangnya dari kelab selepas berasa beliau naik kepala tetapi bukankah kerja kamu sebagai pundit ialah untuk ketepikan emosi dan memberikan kritikan rasional?

“Ronaldo juga manusia yang mempunyai kekurangan,” kata Keane tetapi jika kita letakkan pemain lain dalam situasi Ronaldo, sudah tentu mereka dicaci maki.

Ini bukan soal apa yang dibuat, tetapi siapa yang buat.

Paul Scholes – dan pihak media – juga turut dimarah oleh penyokong United dan digelar “orang tua cemburu” di Twitter selepas mengkritik Antony kerana membuat putaran 360 dengan bola ketika perlawan United menentang Sheriff Tiraspol.

Scholes berkata Antony “memperbodohkan dirinya sendiri” dan “tidak menghiburkan” walaupun Old Trafford bnersorak ketika melihat lagak dos Santos.

Seorang pengguna Twitter berkata, “Mereka marah sebab pemain daripada Brazil bermain bola seperti orang Brazil?”

Pada musim lepas, bekas-bekas pemain United berkata skuad dipenuhi pemain yang “cepat putus asa, toksik, tiada personaliti, disiplin dan pemimpin”. Kini Ten Hag sudah membina satu pasukan yang menuju ke arah yang betul, tetapi tiba-tiba semua benda negatif pula?

Tiba-tiba seorang pemain layak buat perangai kerana namanya dan pemain yang mempunyai personaliti digelar “tidak serius”.

Makin lama, pundit-pundit ini menunjukkan niat sebenar mereka; mereka tidak mahu Manchester United berjaya.

Hubungan penyokong dengan Keane makin lama makin nipis selepas berkata pendapat penyokong tidak penting.

Mereka datang perlawanan bukan kerana mereka dibayar, tetapi kerana mereka MAHU datang sementara pundit-pundit mengaut keuntungan dengan menjerit di kaca TV tentang betapa “biadab”nya Ten Hag kerana suruh Ronaldo duduk bersama pemain simpanan.

Zaman mereka sudah berlalu namun mereka tetap cuba untuk kelihatan relevan di dunia bola sepak tetapi sejak kebelakangan ini, cubaan mereka gagal. Penyokong akan sokong Ten Hag dan Manchester United, bukannya Roy Keane, Rio Ferdinand atau Paul Scholes.

Mereka melihat pada masa hadapan sementara “Keane & Co” akan sentiasa menoleh ke belakang.

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM