Jika disebut tentang sotong kurita, lazimnya kita membayangkan hidupan laut ini berkepala ‘botak’ dengan dua biji mata pada permukaan tersebut.

Namun, tahukah anda terdapat sejenis sotong yang mempunyai telinga? Ya, sotong kurita ini antara spesies yang unik kerana mempunyai telinga!

Menurut sumber Aquarium of The Pacific, sotong spesies ini dikenali sebagai ‘Dumbo octopus’ atau nama saintifiknya ‘Grimpoteuthis’. Ia hidup pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut menjadikan sotong ini agak sukar untuk ditemui. Perairan laut dalam seperti di New Zealand, Australia, California dan Papua antara yang menjadi habitat spesies sotong dumbo.

Nama sotong kurita dumbo mirip dengan watak animasi ‘Dumbo, the flying elephant’. Difahamkan, nama sotong ini tersebut diambil berdasarkan bentuk telinga yang seakan sama dengan karakter watak animasi tersebut.

Sotong dumbo yang mempunyai telinga.
Sotong ini mendapat gelarannya sempena watak animasi Dumbo, The Flying Elephant.

Menariknya, sotong kurita ini memiliki bentuk yang lebih comel seperti loceng, berbeza dengan kebanyakan sotong lain. Ia mempunyai lapan lengan dan bentuknya tidak begitu panjang. Kesemua bahagian itu dihubungkan dengan lapisan kulit nipis seperti sayap. Apabila ia mengembang, figuranya kelihatan seperti payung.

Sotong ini wujud dalam tiga warna iaitu oren, merah dan hijau. Pun begitu, setiap sotong hanya mempunyai satu ton warna pada badan. Warna pada fizikal sotong boleh berubah mengikut keadaan persekitaran yang turut berfungsi sebagai teknik penyamaran.

Figuranya lebih menarik dengan kewujudan dua bentuk ‘telinga’ pada bahagian kepala. Sebenarnya, ‘telinga’ ini berperanan sebagai sirip yang membantu sotong ini untuk bergerak. Setiap kali ia berenang, gerakan berayun dari ‘telinganya’ turut jelas kelihatan.

Telinganya berfungsi untuk membantu sotong ini berenang.

Selain menggunakan telinga sebagai sirip untuk berenang, terdapat tiga mod lain yang digunakan untuk bergerak. Kaedah tersebut adalah merangkak, mengembang seperti payung dan meluncur. Daripada keempat-empat cara berkenaan, pergerakan yang dibantu oleh telinga merupakan teknik paling perlahan. Kesemua kaedah ini boleh dilakukan secara serentak atau berasingan.

Purata saiz seekor sotong kurita dumbo ini berukuran 20 hingga 30 sentimeter panjang. Manakala beratnya tidak dapat ditentukan secara terperinci. Bagaimanapun, saiz paling besar pernah direkodkan adalah seberat hampir enam kilogram dengan panjang 1.8 meter.

Sebagai haiwan yang berhabitat di dasar laut, sumbernya juga adalah berdasarkan keadaan di sekeliling. Cacing, krustasea dan bivalvia adalah makanannya.

Spesies sotong ini tidak mengunyah makanannya, malah ia juga tidak mempunyai gigi. Sama seperti kebanyakan sotong, ia menggunakan tentakel untuk menangkap sebelum membalut binatang buruannya. Setelah itu, ia akan menjerut mangsa dan menelan keseluruhan mangsanya itu.

Dari sudut pembiakan, spesies ini tidak mempunyai musim tertentu untuk membiak kerana kemampuan sotong betina yang menghasilkan telur sepanjang tahun.

Jumlah sebenar spesies sotong ini masih tidak dapat ditentukan dengan jelas. Antara bilangan yang disebut adalah 13, 15, 17, 20, 37 dan banyak lagi. Purata jangka hayat spesies sotong ini adalah sekitar tiga hingga lima tahun.

Apabila mengembang, bentuk sotong ini seakan seperti payung.
Sotong dumbo.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram