Bendera Barisan Nasional (BN). GAMBAR BERNAMA.

BARISAN Nasional (BN) memperkenalkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) sebagai manifestonya dalam usaha memenangi semula hati rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebagai sebuah parti yang berpengalaman lebih 60 tahun mentadbir negara, BN PADU disifatkan tawaran baharu yang segar kepada rakyat Malaysia.

Merangkumi dua strategi penting, lima fokus dan 99 tawaran, BN PADU sejajar dengan aspirasi gabungan itu ke arah kestabilan dan kemakmuran Malaysia.

Seperti kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa melancarkan manifesto secara dalam talian, parti itu sedar bahawa mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menawarkan yang terbaik kepada negara.

Setelah empat tahun ‘kehilangan’ kuasa apabila tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14, BN mahu mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

Atas dasar itu, BN mahukan kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik; lompat-melompat; ugut-mengugut dan tekan-menekan.

BN juga berjanji untuk menawarkan kerajaan yang akan menoktahkan segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik serta kerajaan.

Baca artikel berkaitan: BN PADU: Pinda Perlembagaan anak wanita Malaysia lahir luar negara

Pada masa sama, BN mahu menguruskan Malaysia menjadi sejahtera dan makmur dengan melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan bersifat prorakyat; propembaharuan; prokemajuan dan mengutamakan keterangkuman.

Semua itu hanya akan berlaku sekiranya mandat diberikan selepas PRU-15.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan PADU bukanlah sekadar janji-janji manis dan indah serta bukan tentang segala-galanya percuma.

Kata beliau, PADU merupakan pelan yang serius dan rasional yang mempunyai sasaran yang jelas demi kemaslahatan semua.

Untuk itu, lima fokus besar telah digariskan bagi mendasari kesemua 99 tawaran di bawah manifesto tersebut.

Menurut Ahmad Zahid, fokus pertama adalah penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

“Kedua, PADU mengenai tekad dan nekad BN untuk melakukan beberapa pembaharuan yang radikal dan bersifat struktural dalam negara kita serta ketiga, keterangkuman dan pengiktirafan kerencaman.

“Keempat, PADU satu penggandaan usaha untuk kita meletakkan asas-asas penting untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Seterusnya yang kelima, beliau berkata, kejayaan 99 perkara dalam PADU ini bergantung kepada bagaimana BN mengamal dan mengusahakan dengan berstrategi.

Justeru, pada akhir ‘pembentangan’ itu, Ahmad Zahid memulangkan semuanya kepada pertimbangan rakyat bagi menentukan masa depan negara.

Manifesto sudah dibentang, tunggu keputusan 19 November nanti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram