BARISAN Nasional (BN) akan merevolusi sistem pengagihan bantuan secara besar-besaran di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengenalan skim bantuan pendapatan asas atau assistive basic income itu merupakan antara inisiatif yang terkandung dalam fokus pertama Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) iaitu manifesto BN menghadapi PRU-15.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus pertama PADU adalah penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

Melalui skim bantuan pendapatan asas itu, kata beliau, kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.

Jelas Ahmad Zahid, skim itu merupakan tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

Baca artikel berkaitan: Sebahagian intipati Bajet 2023 jadi manifesto BN

“Skim ini akan hadir sebagai jalan paling adil, munasabah dan strategik, bukan sahaja bagi menangani kos sara hidup yang sangat membebankan, namun bagi memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan.

“Dalam erti kata lain, selepas ini, insiden kemiskinan mutlak hanya tinggal sejarah di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan manifesto BN PADU secara dalam talian hari ini.

BN PADU menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia dalam memberikan mandat bagi membentuk kerajaan Persekutuan kelak.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan, kelompok M40 dan kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 sehingga RM100,000 pula akan diberi potongan cukai pendapatan.

“Ini sudah pasti akan membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram