Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) melihat wujud keperluan untuk mengkaji dan meneliti semula isu gaji golongan profesional yang masih rendah di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan mengapa isu tersebut timbul, apakah ia ada kaitan dengan aspek perundangan atau tahap produktiviti yang disasarkan.

Katanya, perbezaan gaji golongan profesional di Malaysia berbanding negara luar amat tinggi melibatkan tiga ke empat kali ganda.

“Persoalan berbangkit kenapa tidak sampai ke tahap itu (gaji tinggi), apakah dia ada kaitan dengan undang-undang, apakah dia ada kaitan dengan soal produktiviti?

“Kalau dikatakan tahap produktiviti pekerja atau pun profesional yang ada di sini sama taraf atau pun lebih tinggi, kenapa pula gaji yang dibayar kepada mereka tak setara.

“Jurutera sudah servis lima tahun tapi gaji masih rendah RM2,000, RM2,500 sepatutnya sudah dekat enam, tujuh, lapan ribu, kenapa dia tak dinaikkan?,” soalnya.

Baca artikel lain: Tawaran PN BEST: Soal Perlembagaan, kedudukan Islam tiada kompromi – Muhyiddin

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog sempena pelancaran manifesto PN Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, semalam.

Muhyiddin menambah, secara dasarnya beliau bersetuju isu tersebut diberikan perhatian bagi mencari jalan penyelesaian khusus.

Katanya, ada kemungkinan perkara itu kelak perlu dibawa ke meja rundingan melibatkan kesemua pemain industri terbabit.

“Ini satu perkara yang perlu kita halusi dan kalau ada langkah-langkah tertentu yang mungkin boleh kita ambil dan dibincangkan dengan majikan, persatuan majikan dengan syarikat-syarikat swasta.

“Kalau dah kerajaan, apakah kerajaan boleh menerajui langkah pertama untuk meneliti semula taraf gaji.

“Ini satu-satu yang saya fikir kita akan teliti dan kaji tapi pada dasar saya memang bersetuju,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram