JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Itu peribahasa yang sesuai untuk Hasmah Mohamad Arifin, 51, dengan kesungguhan serta kegigihannya dalam perniagaan.

Bermula dengan menjaja makanan dalam kereta api bersama ibu bapanya seawal usia kanak-kanak sehinggalah dia berniaga sendiri di pasar malam ketika usia 14 tahun.

Namun, segala penat lelah dan pengorbanannya berbaloi apabila wanita cekal itu kini bergelar pembekal makanan haiwan di Kelantan dengan membuka premis di Jalan Kempas, di sini.

Mengakui tidak mudah untuk berada hingga tahap ini, Hasmah menyifatkan dia turut melalui perit getir sebagaimana usahawan yang lain terutama membabitkan modal apabila perniagaan yang diusahakannya itu memerlukan modal besar.

“Saya memang minat berniaga sejak kecik lagi dan saya tidak pernah bersekolah seperti mereka yang lain, memandangkan keluarga susah dan tidak mampu untuk menghantar ke sekolah.

“Sejak kecil saya mengikut kedua ibu bapa berniaga dengan menjaja makanan dalam kereta api sehinggalah bermula usia 14 tahun, saya berniaga sendiri di pasar malam di Gua Musang dengan menjual ayam. 

“Selepas berkahwin, saya yang berasal dari Kampung Bertam, Gua Musang mula berpindah di Machang, namun masih meneruskan dengan menjual di pasar malam,” katanya kerika ditemui.

Baca lagi: Sahabat AIM: Lebih RM1 juta pinjaman untuk tiga jenis perniagaan

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, bermula lima tahun lalu, suami, Zainal Abidin Daud, 62, mula berniaga makanan haiwan sebelum jatuh sakit setahun kemudian.

Katanya, bermula detik itu, dia mula mengambil alih perniagaan yang diusahakan suami dan ketika itu berat untuk dia lalui memandangkan suami banyak berhutang dengan pihak pengilang.

“Ketika itu segala simpanan saya habis untuk melangsaikan hutang suami dan ujian berat itu akhirnya berlalu apabila sehingga kini sudah empat tahun saya berusaha mengemudi perniagaan makanan haiwan.

“Alhamdulillah dengan rezeki Allah, makanan haiwan ini saya bekalkan kepada pemborong di Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh dan Machang dengan pendapatan sehari sebanyak RM30,000,” katanya yang sehingga kini masih berniaga di Pasar Malam di Gua Musang.

Hasmah turut menyifatkan di sebalik kejayaannya hari ini adalah dengan adanya bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana sehingga kini lebih 30 kali pinjaman dibuat dengan AIM.

“Banyak AIM bantu saya. Saya bermula dengan AIM pada 2014 bagi tujuan kos upah haji arwah kedua ibu bapa saya. Selepas itu saya terus membuat pinjaman dengan AIM untuk tujuan perniagaan.

“Selain saya, tiga anak juga turut meminjam dengan AIM, namun saya yang membayarnya. Sekarang pun saya masih meminjam sebanyak RM30,000 selama enam bulan.

“Saya akui AIM banyak membantu perniagaan saya dan saya cukup berterima kasih kepada AIM kerana sentiasa membantu usahawan seperti saya,” katanya.

Katanya, dia akan terus berusaha untuk mengembangkan perniagaan yang diusakannya termasuk mencari lebih ramai pemborong pada masa akan datang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram