Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Radzi Jidin pada sesi dialog ketika Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) akan sentiasa menjunjung soal Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil sekiranya diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan itu dengan mengatakan soal Perlembagaan terutama kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tiada kompromi.

Jelas beliau, mempertahankan keluhuran Perlembagaan terkandung di bawah Tunjang 3 manifesto PN BEST iaitu membersihkan politik dan tadbir urus.

Muhyiddin yang juga calon Perdana Menteri PN memberitahu, perkara-perkara itu akan terus dihormati malah diperkasa menerusi pelbagai inisiatif sebaik membentuk kerajaan.

“PN sejak ditubuhkan memang antara perkara yang kita tekankan adalah menjunjung Perlembagaan dan tentulah antara yang penting ialah soal kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kalau kita nak tafsirkan lagi apa yang kita nak buat untuk memartabatkan dan meningkatkan syiar Islam, bukan sahaja soal undang-undang yang perlu diperbaiki atau memperkenalkan perkara baharu tetapi juga memperkasakan pendidikan Islam menerusi bantuan kepada sekolah agama sama ada ditaja kerajaan atau swasta.

Baca artikel berkaitan: Tawaran PN BEST: 12 tunjang, 30 pendekatan, 234 tawaran demi rakyat

“Ini sebahagian yang telah dilakukan tetapi janji kita ialah untuk meningkatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog selepas melancarkan Tawaran PN BEST di Shah Alam, malam tadi.

Muhyiddin menjawab pertanyaan hadirin berhubung soal memantapkan agama Islam sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh merasmikan Tawaran PN Best atau Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang.

Merangkumi 12 tunjang, 30 pendekatan dan 234 tawaran, PN BEST digubal mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting dalam kehidupan semasa.

Daripada 234 tawaran itu, 50 tawaran utama menjadi fokus gabungan itu termasuk membina ekonomi masa hadapan; meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram