ڤروسيديڠ س اوف ذي ادۏايسوري کونسل اوف ذي مالاين يونيان اتاو مجليس ڤنصيحت مالاين يونيان ممڤوڽاءي سبواه نسخه سوليت يڠ منچاتتكن مينيت مشوارت ممبابيتكن ڤمبنتوقن ملايان اونيان ڤد تاهون 1946
مالاين يونيان دبنتوق سلڤس ڤرڠ دنيا ک-2 دڠن ڬابوڠن نڬري٢ ملايو برسام نڬري٢ سلت تنڤا سيڠاڤورا
منوروت ڤڠكاجي سجاره، وان احمد ارشد، حاصيل كاجين بلياو ترهادڤ نسخه تربابيت منداڤتي حق مشاركت ملايو دتانه ملايو دكتڤيكن دري ڤلباڬاي اسڤيک
كاتاڽ، دالم سيدڠ ڤرتام مجليس ڤنصيحت مالاين يونيان اين دحاضيري اوليه 15 اورڠ اهلي دمان تياد سأورڠ ڤون دري مريک اداله درڤد كالڠن اورڠ ملايو تمڤتن ماهوڤون واكيل ايستان
“انتارا يڠ حاضير ڬابنور ڤرتام مالاين يونيان ڬراد ايدواد جيم س ڬين، كتوا ستياءوسها مالاين يونيان، أيه. تي. نيوبود، ڤڬوام نڬارا مالاين يونيان کي.کي. او کونور، ستياءوسها كواڠن دابليو.دي. ڬودسل، أيچ. أيچ. عبدول قادير، دابليو.جي.سي. بلون، عيم.ايل.ار. دورايسامي ايير، كولونر ايچ.ايس. لي، ايس.بي. ڤلمر، اوڠ چوڠ كيڠ، سو كيم لن، تن چيڠ ليڠ، تڠ ايڠ چاي، سي.ايف. ڬوميس دان ۏي.عيم.عين منون،” كاتاڽ كڤد اوتوسن تيۏي

وان احمد ارشد يڠ جوݢ ڤميليق ڬاليري ڤوساک مويڠ بركات، جک دليهت دري لوڬيک عقل، باڬايماناكه كڤنتيڠن ملايو ايت هندق دجاݢ سكيراڽ تياد اورڠ ملايو يڠ دڤيليه منجادي اهلي مجليس بركناءن
جلسڽ، ڤركارا ترسبوت داڤت دروموسكن بهاوا سميمڠڽ كڤنتيڠن مشاركت ملايو تيدق دأمبيل كيرا ددالم كڤوتوسن مجليس ڤنصيحت مالاين يونيان
چريتاڽ لاڬي، بارڠكالي ڤركارا ترسبوت منجادي ايسو دان بريتيش ملتقكن سأورڠ واكيل براڬام اسلام ياءيت أيچ. أيچ. عبدول قادير
“باڬايماناڤون، بلياو بوكنله اورڠ ملايو دان سبنرڽ دداتڠكن خاص درڤد اينديا اونتوق توروت سرتا دالم مجليس تربابيت،” اوجرڽ
مڠوڤاس لبيه لنجوت مڠناءي نسخه اين اياله رانچڠن مالاين يونيان دالم مڠكلكن سيڠاڤورا سباڬاي تانه ججهن يڠ براسيڠن

توجوان اوتام بريتيش مڠچواليكن ڤڽرتاءن سيڠاڤورا كدالم مالاين يونيان دسببكن كڤنتيڠن ايكونومي، كدودوقن ستراتيڬيک سيڠاڤورا سباڬاي ڤلابوهن اوتام دان ڤلباڬاي لاڬي
“دالم نسخه اين، داڤت دليهت درڤد اول لاڬي سوده درانچڠ اونتوق مميسهكن سيڠاڤورا درڤد تانه ملايو
“باڬايماناڤون، مڠاڤ دري سڬي ڤرونتوقن باجيت يڠ ترداڤت دالن مينيت مشوارت، سيڠاڤورا دبريکن حق يڠ سام دري اسڤيک ڤرونتوقن كواڠن، جالن راي، ڤلابوهن، ڤمباڠونن دان اينفراستروكتور،” جلسڽ

منوروتڽ، ڤرانن تانه ملايو كتيک ايت دليهت سڤرتي مڽومبڠ ككاياءن كڤد بريتيش دان سيڠاڤورا
وان احمد ارشد بركات، ڤرانن سلطان دكچواليكن دري ڤلباڬاي اسڤيک دان هاڽ دبنركن ترليبت دالم حال استيعادت ايستان، عادت رسم دان اڬام سهاج
“جادي راج يڠ سبنر اداله راج دان راتو ايڠلند،” كاتاڽ
مک، كأداءن اين ممبوقتيكن مريک لبيه بركواس بربنديڠ سبلوم ڤندودوقن جڤون دتانه ملايو
نوتا ڤڠارڠ: كورڤوس برمقصود هيمڤونن مقاله دان توليسن باڬي توجوان ڤڽليديقن
Hak Orang Melayu diketepikan ketika penubuhan Malayan Union
Proceedings of the Advisory Council of the Malayan Union atau Majlis Penasihat Malayan Union mempunyai sebuah naskah sulit yang mencatatkan minit mesyuarat membabitkan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946.
Malayan Union dibentuk selepas Perang Dunia ke-2 dengan gabungan Negeri-Negeri Melayu bersama Negeri-Negeri Selat tanpa Singapura.
Menurut Pengkaji Sejarah, Wan Ahmad Arshad, hasil kajian beliau terhadap naskah terbabit mendapati hak masyarakat Melayu di Tanah Melayu diketepikan dari pelbagai aspek.
Katanya, dalam sidang pertama Majlis Penasihat Malayan Union ini dihadiri oleh 15 orang ahli di mana tiada seorang pun dari mereka adalah daripada kalangan orang Melayu tempatan mahupun wakil istana.
“Antara yang hadir Gabenor Pertama Malayan Union Gerard Edward James Gent, Ketua Setiausaha Malayan Union, A. T. Newboult, Peguam Negara Malayan Union K.K. O’Connor, Setiausaha Kewangan W.D. Godsall, H.H. Abdool Cader, W.G.C. Blunn, M.L.R. Doraisamy Aiyer, Koloner H.S. Lee, S.B. Palmer, Ong Chong Keng, Soo Kim Lan, Tan Cheng Leng, Tang Eng Chye, C.F. Gomes dan V.M.N Menon,” katanya kepada UtusanTV.
Wan Ahmad Arshad yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang berkata, jika dilihat dari logik akal, bagaimanakah kepentingan Melayu itu hendak dijaga sekiranya tiada orang Melayu yang dipilih menjadi ahli majlis berkenaan.
Jelasnya, perkara tersebut dapat dirumuskan bahawa sememangnya kepentingan masyarakat Melayu tidak diambil kira di dalam keputusan Majlis Penasihat Malayan Union.
Ceritanya lagi, barangkali perkara tersebut menjadi isu dan British meletakkan seorang wakil beragama Islam iaitu H.H. Abdool Cader.
“Bagaimanapun, beliau bukanlah orang Melayu dan sebenarnya didatangkan khas daripada India untuk turut serta dalam majlis terbabit,” ujarnya.
Mengupas lebih lanjut mengenai naskah ini ialah rancangan Malayan Union dalam mengekalkan Singapura sebagai tanah jajahan yang berasingan.
Tujuan utama British mengecualikan penyertaan Singapura ke dalam Malayan Unioan disebabkan kepentingan ekonomi, kedudukan strategik Singapura sebagai pelabuhan utama dan pelbagai lagi.
“Dalam naskah ini, dapat dilihat daripada awal lagi sudah dirancang untuk memisahkan Singapura daripada Tanah Melayu.
“Bagaimanapun, mengapa dari segi peruntukan bajet yang terdapat dalan minit mesyuarat, Singapura diberikah hak yang sama dari aspek peruntukan kewangan, jalan raya, pelabuhan, pembangunan dan infrastruktur,” jelasnya.
Menurutnya, peranan Tanah Melayu ketika itu dilihat seperti menyumbang kekayaan kepada British dan Singapura.
Wan Ahmad Arshad berkata, peranan Sultan dikecualikan dari pelbagai aspek dan hanya dibenarkan terlibat dalam hal istiadat istana, adat resam dan agama sahaja.
“Jadi raja yang sebenar adalah Raja dan Ratu England,” katanya.
Maka, keadaaan ini membuktikan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Nota pengarang: Korpus bermaksud himpunan makalah dan tulisan bagi tujuan penyelidikan.

