iklan, persepsi gaya hidup

Situasi 1: Sepasang suami isteri sedang meninjau-ninjau barang-barang yang dijual di sebuah pasa raya yang baru mengadakan jualan murah sempena cuti persekolahan. Tidak lama kemudian, si isteri memanggil jurujual lalu berkata, “Yang ini, yang ini, dan yang ini, saya tak mahu. Yang lain, semua saya mahu”. Jurujual perempuan itu tersenyum lebar mendengar kata-kata si isteri tersebut, sebaliknya si suami tercengang, sambil mulut ternganga luas. Dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba si isteri berkata kepada suaminya, “Abaang! Cepat la bayar.”

Situasi 2: Pada suatu malam, seorang suami ditendang keluar rumah oleh isterinya akibat keletihan ketika di atas ranjang. Si suami tiba-tiba terjumpa sebuah lampu Aladdin, lalu menggosok lampu tersebut. Sekonyong-konyong keluar seekor jin bermata merah, lalu berkata, “Kamu mahu apa”? Si suami pun menjawab, “Saya mahu kuat”. Lalu jin tadi pun mencadangkan supaya si suami tersebut mengambil kopi tongkat Ali yang turut mengandungi sekakul, dan pati dhab. Dengan serta merta si suami menjadi ‘kuat’, lalu mendapat kucupan daripada isterinya.

Kedua-dua situasi di atas adalah senario yang biasa kita lihat dalam iklan-iklan di negara ini, sama ada iklan di televisyen, mahu pun di radio. Iklan-iklan tersebut kebiasaannya dibahagikan berdasarkan golongan yang menjadi sasaran.

Oleh itu, terdapat iklan yang ditujukan khusus untuk kaum wanita, ada iklan yang khusus untuk lelaki, ada iklan untuk warga emas, kanak-kanak, dan tidak ketinggalan juga iklan untuk golongan remaja. Setiap iklan tersebut pastinya berbeza-beza antara satu sama lain berdasarkan mesej yang ingin disampaikan kepada khalayak sasaran.

Sedar tidak sedar, gaya hidup kita akhirnya ditentukan oleh iklan yang menguasai arah pembelian individu dan isi rumah di negara ini. Kalau kaum lelaki sanggup kering saku bagi membeli kereta mewah, pakaian yang berjenama terkenal, dan ubat-ubatan, serta makanan kesihatan penguat tenaga seks, kaum wanita pula berebut-rebut mengunjungi pasar raya-pasar raya yang mengadakan jualan murah, dan berlumba-lumba membeli produk-produk kecantikan wajah dan pelangsingan tubuh badan, termasuk makanan kesihatan bagi menambat hati suami.

Golongan kanak-kanak pula sejak dari zaman berzaman lagi dimomokkan dengan persepsi bahawa menjamu selera di restoran makanan segera adalah sesuatu yang menyeronokkan, membahagiakan, dan melambangkan status.

Lalu tatkala anak-anak kita bergembira memakan burger, ayam goreng, dan kentang goreng, kita juga kadang-kadang tertanya-tanya siapakah sebenarnya yang sedang bergembira. Adakah si anak, pengusaha restoran makanan segera, atau pun syarikat francais yang bertanggung-jawab mengiklankan produk-produk yang dihasilkan?

Pendek kata kita tidak boleh memisahkan diri kita daripada pengaruh iklan kerana kita semua hidup dikelilingi oleh iklan, sama ada iklan yang kita mahu lihat dan dengar, iklan yang menghiburkan dan yang memberi informasi kepada penonton, atau iklan yang sememangnya membuatkan kita menyampah, benci, marah, dan geram.

Kecuali mereka yang mencari rezeki melalui iklan, tidak ada seorang pun dalam kalangan kita yang menonton televisyen semata-mata untuk melihat iklan. Namun ironinya, perkara yang dibenci itulah yang menentukan cara hidup kita seharian.

Golongan wanita contohnya, mereka seolah-olah tidak mempunyai pilihan untuk kelihatan cantik, anggun, menarik, dan bergaya, melainkan jika mereka mengguna pakai produk-produk yang diiklankan sama ada di media cetak, elektronik, alam siber, atau pun melalui rangkaian jualan langsung.

Lalu tidak pelik jika kita melihat ramai wanita yang sentiasa menukar ganti fesyen beg tangan pada setiap minggu, menggilirkan setiap hari jenis kasut, atau sandal yang dipakai, dan tidak segan silu memberitahu rakan-rakan jenama alat solek yang digunakan.

Bagi kaum lelaki pula, keluar sahaja model baru telefon bimbit, golongan yang terkenal dengan sifat ego ini sanggup menjual dengan murah telefon bimbit yang lama semata-mata kerana mahu kelihatan up to date dengan perkembangan semasa dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi yang pesat berkembang.

Malah, bagi mereka yang lebih berkemampuan, hutang bank keliling pinggang tidak menjadi masalah asalkan mereka merasa selesa memiliki model baru kereta idaman, atau memiliki rumah yang memukau para tetamu dan sanak saudara.

Justeru, tidak salah rasanya jika kita mengatakan, sesetengah iklan yang disiarkan, khususnya di media elektronik menggalakkan kita supaya berbelanja mengikut hawa nafsu. Bukan itu sahaja, menunjuk-nunjuk kemewahan yang kita miliki, menampilkan kecantikan dengan cara yang salah dan kepada individu-individu yang tidak berkaitan. 

Juga, bermegah-megah dengan kekayaan, kejayaan, dan segala kelebihan yang kita banggakan, dan pelbagai lagi penampilan diri dan gaya hidup yang bersalahan dengan ajaran Islam, malah adat ketimuran sekalipun.

Sistem kapitalis

Jika kita meneliti isu ini secara halus, menyeluruh, dan holistik, kita akan dapati perkara seperti ini sebenarnya berakar umbi daripada sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di negara ini. Malah telah menguasai dunia keseluruhannya.

Dalam sistem kapitalis, ekonomi dikatakan terhasil akibat daripada kehendak manusia yang tidak terbatas, sedangkan keupayaan manusia pula terbatas. Manakala, matlamat dalam perniagaan pula ialah untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum melalui penggunaan sumber modal yang minimum.

Jelas sekali sistem ekonomi yang pincang ini langsung tidak menyentuh peranan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah di atas muka bumi ini. Apatah lagi untuk membincangkan persoalan keberkatan dalam perniagaan dan rezeki yang diperoleh, termasuk persoalan riba, zakat dan sedekah.

Natijahnya, manusia tidak lebih daripada robot ekonomi yang hanya hidup untuk memenuhkan perut dan memuaskan nafsu sahaja. Hal ini bukan sahaja boleh dilihat melalui gaya hidup mereka yang terlibat, namun turut terpancar melalui iklan-iklan yang berkaitan.

Kepada mereka yang terlibat dalam dunia pengiklanan, nasihat saya berhati-hatilah apabila merancang sesuatu iklan. Jangan hanya melihat keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial iklan terhadap masyarakat. Paling penting, pastikan diri kita tidak termasuk dalam kelompok mereka yang disifatkan oleh Allah sebagai penyambung lidah syaitan dan iblis dalam menyesatkan manusia dan memperdayakan mereka supaya sentiasa patuh kepada kehendak hawa nafsu melalui permainan kata-kata dan tipu muslihat.

Firman Allah dalam surah al-An’am: 112 “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhan mu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka (jangan ikuti) dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”

Oleh: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah. Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram