bukti kehebatan al-Quran melalui hujan
Kredit foto: Julia Sudnitskaya/Getty Images

Lazimnya setiap tahun apabila masuk bulan November maka hujan akan sentiasa turun. Dan ia dijangka berterusan sehingga ke bulan Mac tahun hadapan. Kerana itu bulan November kita sebut sebagai bulan siap siaga.  

Adapun berbicara tentang perihal kejadian hujan, ia telah disebut dalam banyak ayat al-Quran secara tepat yang menegaskan bahawa ia berasal daripada awan yang mengandungi air.

Lalu apabila awan itu berkumpul menjadi banyak turunlah air yang dipanggil sebagai hujan. Ia sebagaimana firman Allah menerusi surah al-A’raf ayat 57 dan surah al-Fathir ayat 9:

“Dan Dialah (Allah) yang mengutuskan angin sebagai khabar gembira yang datang dari rahmat-Nya hinggalah ia (angin) membawa awan-awan yang sarat (dengan air) lalu kami siramkannya buat (mana-mana) negeri yang (tandus) mati.”

“Dan Allahlah yang mengutuskan angin (untuk kemudiannya) mengocakkan awan-awan seterusnya Kami perjalankannya ke negeri yang buminya mati. Kemudian Kami hidupkan tanah tadi dengannya (hujan yang turun dari awan-awanan)”

Jika diperhatikan, di dalam al-Quran kalimah yang digunakan untuk menggambarkan cara hujan turun ialah (min khilalihi yang bermaksud dari celah-celahnya). Seperti yang disebut oleh Allah dalam surah an-Nur ayat 43,

Tidakkah engkau mengerti bahawa Allah menjadikan awan-awan itu terhimpun sedikit demi sedikit kemudian menggabungnya (dengan sebahagiannya). Seterusnya Ia menjadikannya satu kepulan raksasa. (Dengan itu) engkau dapat melihat hujan keluar dari celah-celahnya (awan)”.

Ayat lain yang menceritakan tentang hujan turun dari celah-celahnya juga ialah

“Allah lah yang mengutuskan angin seterusnya mengocakkan awan-awanan. Kemudian Ia membiarkannya tersedia di langit sebagaimana yang Ia kehendaki dan menjadikannya potongan-potongan kepulan yang banyak. Selepas itu engkau akan melihat hujan turun dari celah-celahnya,” (Ar-Rum: 48)

Menurut al-Tabari kalimah ini membawa pengertian air hujan itu keluar di antara awan-awan. Manakala menurut al-Jazairi pula ianya bermaksud dari bawah awan dan celah-celahnya. Berdasarkan kenyataan ulama tafsir ini dapatlah difahami bahawa air hujan itu turun daripada sela—sela awan yang menyebabkan ia turun menitik-nitik dan tidak menyimbah.

Begitu juga dalam fakta sains, awan yang berarak di antara langit dan bumi mempunyai keseimbangan graviti yang menariknya turun ke bawah dengan wujudnya kekuatan yang mengangkatnya ke atas.

Jika berterusan keseimbangan di antara dua proses ini, sudah pasti tidak akan turun hujan dalam bentuk setitis yang besar, tetapi Allah mengutuskan angin-angin untuk membawa awan-awan ke bahagian yang tinggi yang lebih sejuk suhunya.

Kemudian ia menjadi awan bertambah besar dan bertambah juga saiz titisan. Bertambah air dalam titisan itu dan menjadi berat dengan tarikan graviti yang kuat. Kekuatan itu mengatasi kekuatan mengangkat lalu ia menurunkan hujan dengan kekuasaan Allah.

Proses itu berlaku agar hujan tidak turun dalam bentuk seketul maka Allah jadikan proses penguraian pada titisan-titisan hujan yang menjadi sebab hujan itu turun dalam bentuk titisan kecil.

Allah amat menjaga makhluknya dari sebarang kemusnahan dan kerosakan jika hujan itu turun dengan menyimpah atau berbentuk titisan yang besar. Ia juga boleh dikaitkan dengan titisan itu dibawa oleh malaikat sebagaimana hadis yang diulas di awal cerita.

Justeru, walaupun bukti penemuan sains dan kajian terhadap hujan itu telah dilakukan oleh manusia, namun sebenarnya itu semua dari Allah yang disebut dalam mashafnya sejak ratusan tahun lagi.

Sebijak dan sepandai manapun fikiran dan minda manusia, ia sudah tentu tidak dapat membuat hujan seperti yang mencurah pada hari ini.

Meskipun zaman teknologi sekarang, ada kaedah baru dalam menurunkan hujan, iaitu dipanggil pembenihan awam, namun ia masih lagi tidak mampu membuat hujan seperti yang Allah kurniakan.

Cuma proses dan kaedah itu adalah ilham Allah kepada manusia agar teruskan berusaha jika menghadapi kesusahan dan peringatan dari Allah bahawa hujan itu sangat penting kepada manusia dan alam.

Kita semua meyakini bahwa hujan itu sebenarya adalah dari Allah dengan proses yang tersusun dan sempurna telah Dia aturkan. Ia agar kita semua terhindar dari golongan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. 

“Apakah kalian tahu apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian ?”. Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”. Beliau s.a.w. bersabda,

“Allah telah berfirman, ‘Pagi hari ini ada di antara hamba Ku yang beriman kepada Ku dan ada pula yang kafir. Adapun yang berkata, ‘Kita diberi hujan kerana kurnia dan rahmat Allah’ maka ia telah beriman kepada Ku dan kafir terhadap bintang-bintang. Adapun yang berkata, ‘Kita diberi hujan kerana bintang ini dan itu’ maka ia telah kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang-bintang” (HR Bukhari dan Muslim).

___________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram