Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa, bercakap bohong selepas mendakwa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mengawal pandemik COVID-19.

Menempelak dakwaan tersebut, Muhyiddin berkata, Anwar hanya pandai berkata-kata namun tidak berbuat apa-apa pun.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara terbaik dalam mengurus wabak COVID-19.

Malah, katanya lagi, Malaysia merupakan negara paling lama melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dunia demi menjamin keselamatan rakyat.

“Anwar Ibrahim menuduh saya gagal untuk menguruskan COVID-19. Betul ke? Beritahu pada Anwar Ibrahim, tak betul… bohong. Kita berhadapan dengan satu situasi yang luar biasa.

“Bukan saja Malaysia, seluruh dunia termasuk negara maju, negara tidak maju, kecil dan besar. Anwar Ibrahim beritahu Muhyiddin tidak berjaya urus COVID-19. Ada 36,000 orang meninggal kerana serangan COVID-19 yang dikatanya terburuk dalam dunia.

“Bukan terburuk tapi antara negara terbaik dalam menguruskan COVID-19. Amerika Syarikat antara negara termaju di dunia mempunyai kes kematian sebanyak 1,098,387 berbanding negara kita 36,495 kes,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Baca artikel lain: Tawaran PN BEST: Rancak proses pemulihan negara dengan membangunkan PMKS

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Jelajah PN Best di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis pada malam tadi.

Muhyiddin menambah, negara seperti Brazil (688,444 kes), India (530,000 kes), Rusia (390,000 kes) United Kingdom (194,000 kes), Indonesia (158,000 kes) dan Jepun (47,000 kes) mencatat jumlah kematian yang lebih tinggi berbanding Malaysia di kedudukan ke-29.

Katanya, sepatutnya Anwar bersyukur serta berterima kasih kepada barisan pimpinan beliau kerana bekerja keras dalam memastikan kesejahteraan negara.

Katanya lagi, kerajaan pada masa itu juga berjaya menyelamatkan ekonomi negara walaupun terpaksa melaksanakan PKP bagi mengelak lebih ramai rakyat dijangkiti COVID-19.

“Beritahu pada Anwar Ibrahim boleh cakap tapi apa pun tak buat. Dia tak nak ucapkan terima kasih malahan langsung tidak bersyukur kerana dengan tindakan tegas yang kerajaan pimpinan saya telah ambil kita telah menyelamatkan jutaan nyawa.

“Kerajaan pada ketika itu telah membina pusat-pusat suntikan vaksin di seluruh negara, sehingga ke pedalaman Sabah dan Sarawak. Apa yang Anwar tahu.

“Anwar Ibrahim hanya pandai buat tuduhan tapi tidak bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita lakukan termasuk menyelamatkan nyawa dia, keluarga dia, anak dia, cucu dia dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram