Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mahu Johor kembali menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN), sekali gus menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO berkata negeri Harimau Selatan itu sering disebut sebagai kubu kuat UMNO dan BN sebelum ini, apatah lagi kerana kelahiran parti keramat itu bermula di Johor.

“Saya pernah berucap di Johor dan menyatakan Johor merupakan benteng terakhir daripada segi kekuatan UMNO kita, kerana UMNO lahir di Johor dan saya pernah katakan dalam ucapan ketika merasmikan UMNO Bahagian (sebelum ini), saya katakan kalau Johor tumbang, maka seluruh negara (UMNO dan BN) akan tumbang.

“Bukti jelas apabila (BN) Johor tumbang (pada Pilihan Raya Umum ke-14), Malaysia (kerajaan pusat pimpinan BN) pun tumbang dan sebab itulah Johor mesti memastikan ia boleh kembali menjadi kubu kuat UMNO dan juga BN.

“Insya-Allah dengan kekuatan Johor, seluruh negara kekal di bawah BN,” kata beliau ketika berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama warga Parlimen Ayer Hitam di Kompleks Balai Orang Ramai, Taman Suria, Ayer Hitam hari ini.

Johor merupakan negeri pertama dilawati Perdana Menteri selepas kempen PRU15 bermula secara rasmi sejak Sabtu lepas.

Perdana Menteri berkata sejak kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lepas, banyak kemajuan dicapai di bawah kepimpinan Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Kerajaan timbang cadangan cuti khas sebelum hari mengundi – PM

“Tahniah kepada Datuk Hasni dan Datuk Onn Hafiz. Dari segi pelaburan di Johor, apabila Pakatan Harapan memerintah, mereka mampu tarik RM12 bilion pelaburan, sehingga menyebabkan Johor jatuh tempat keenam atau ketujuh daripada segi pelaburan.

“..tetapi apabila kita (BN) memerintah, di bawah Hasni dan Onn Hafiz, hari ini pelaburan ke negeri Johor berjumlah RM60 bilion, menjadikan Johor negeri teratas dalam negara daripada segi pelaburan berbanding negeri-negeri lain,” kata Ismail Sabri.

Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan pengundi di Parlimen Ayer Hitam agar tidak terperangkap dengan permainan pihak pembangkang dan bijak memilih wakil rakyat yang akan mewakili suara mereka.

“Jadi walaupun Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (calon BN bagi Parlimen Ayer Hitam) bukan berbangsa Melayu tetapi dia telah buat kerjasama dengan BN sejak dulu lagi,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata Ayer Hitam dipilih menjadi lokasi pertamanya ke negeri-negeri untuk memberi sokongan kepada Presiden MCA, selain turut memberi jaminan akan melantik semula Wee ke dalam kabinet sekiranya BN memenangi PRU15.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sentimen BN di Johor ketika ini, Perdana Menteri berkata BN Johor boleh memenangi sebahagian besar kerusi parlimen yang dipertandingkan memandangkan kerajaan negeri hari ini dipimpin oleh BN.

“Daripada segi sentimennya nampak baik dan hari ini di Ayer Hitam nampak jelas semangat dan sokongan kepada Wee begitu kuat sekali, dan saya yakin Wee juga akan menang,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra berkenaan.

Pada PRN Johor, BN kembali berkuasa selepas memenangi lebih dua pertiga majoriti iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Wee, yang mempertahankan kerusinya buat kali kelima, menghadapi saingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan Sheikh Omar Bagharib Ali (PH-DAP) dan calon Perikatan Nasional Muhammad Syafiq A.Aziz (PN-Bersatu).

Hari pengundian PRU15 ditetapkan pada 19 Nov manakala hari mengundi awal pada 15 Nov.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram