Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap sempena Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 1 Jun lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

BARISAN Nasional (BN) sedia memanjangkan pemberian komputer riba secara percuma kepada pelajar M40 dan para guru sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pelajar M40 dan guru di seluruh negara akan turut menerima bantuan komputer riba percuma untuk pembelajaran dan pengajaran… Ini merupakan maklum balas secara langsung BN terhadap permintaan pengundi,” katanya pada Program Budi Disanjung di Parit 16 Sungai Panjang malam ini.

Terdahulu, calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang turut hadir pada program itu, berkata pihaknya menerima permohonan daripada para guru dan keluarga M40 agar mereka turut diberikan komputer riba bagi tujuan pembelajaran.

Baca artikel lain: BN PADU: Sistem asuhan, pendidikan awal percuma untuk semua kanak-kanak bawah enam tahun

BN menampilkan manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) iaitu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia yang mengandungi 99 amal dan usaha gabungan politik itu bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.

Antara tawaran itu ialah pemberian komputer riba percuma kepada pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan 5G di semua sekolah.

Ahmad Zahid juga berkata rakyat perlu memberikan mandat yang kuat kepada BN agar sebuah kerajaan stabil dapat ditubuhkan bagi mendepani kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan.

“Pakar ekonomi menjangkakan kemelesetan ekonomi berlaku pada suku pertama tahun hadapan dan PRU-15 yang diadakan pada tahun ini adalah tempoh yang sesuai supaya kerajaan baharu nanti dapat bersedia sepenuhnya,” kata beliau.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram