PADA tahun 2016, sekumpulan saintis Rusia mendakwa menemui sebuah markas rahsia tentera Nazi di sebuah pulau tidak berpenghuni, lebih kurang 1,000 kilometer dari Kutub Utara.

Siapa sangka, Pulau Alexandra yang menyimpan banyak rahsia Nazi yang belum sepenuhnya terungkap sehingga kini, hanya ditemui selepas 71 tahun kematian Adolf Hitler.

Mengikut catatan, markas ini dikenali dengan nama ‘Schatzgraber’ atau ‘Treasure Hunter’. Dikatakan markas ini dibina Nazi pada tahun 1942, iaitu selepas Nazi berjaya mengalahkan pasukan Soviet Union, sebelum tercetusnya Perang Dunia Ke-2.

Lokasi di mana markas rahsia itu ditemui.
Banyak kesan tinggalan Nazi ditemui di pulau tersebut.

Pun begitu, markas ini tidak dapat bertahan lama, sebelum ia ditinggalkan pada tahun 1944. Puncanya apabila para petugas di markas ini mati keracunan setelah memakan daging beruang kutub.

Ada yang mengatakan mereka mati kerana beruang itu telah diracuni oleh pihak musuh. Namun dikatakan ia lebih kepada wabak penyakit yang disebabkan oleh cacing yang hidup dalam daging beruang tersebut.

Walaupun Nazi mengambil pendekatan lain dengan menghantar bekalan makanan melalui udara, ia tidak mampu mengawal wabak tersebut daripada merebak, sebelum akhirnya kesemua petugas di markas itu diselamatkan dengan kapal laut yang didatangkan khas untuk mengambil mereka.

Sejak itu, markas tersebut terbiar. Dikatakan pihak Soviet Union pernah cuba mendapatkan pulau tersebut, namun akhirnya membatalkan hasrat mereka.

Para pengkaji menemui pelbagai objek di markas terbiar ini. Antaranya dokumen-dokumen milik Nazi, pelbagai peluru, peralatan meteorologi, seragam tentera dan peralatan lain. Kesemuanya dibawa ke Rusia untuk dikaji.

Jika diikutkan, kedudukan pulau ini agak strategik untuk markas rahsia operasi ketenteraan. Ada juga pendapat mengatakan, Nazi bertapak di sini bukan sekadar untuk strategi peperangan, tetapi kononnya cuba mencari harta karun yang tertanam di pulau ini.

Namun, kerana wabak penyakit misteri yang melanda, hanya lebih kurang dua tahun saja Nazi mampu bertahan menduduki pulau ini.

Pelbagai barangan peninggalan Nazi ditemui di pulau itu.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram