KHAIRY Jamaluddin ketika berceramah di Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi. - Gambar tangkap layar Facebook Live

CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata, beliau bercita-cita untuk menjadi pemimpin utama UMNO suatu hari nanti dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Menteri Kesihatan itu berkata, beliau tidak pernah menyatakan cita-citanya itu sebelum ini tetapi bersedia memikul tanggungjawab tersebut sekiranya mendapat sokongan rakyat Malaysia, terutama di Sungai Buloh terlebih dahulu.

“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia… Insya Allah.

“Dengan takdir Allah SWT, dengan sokongan daripada rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin UMNO. Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu.

“Tidak pernah saya cakap tuan-tuan. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi Umno) nak ‘keratkan’ saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya,” katanya ketika mengadakan ceramah kempen di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam ini.

BERITA BERKAITAN Mampukah Khairy lepasi laluan berduri atau rebah di Sungai Buloh?

“Saya tidak pernah bercakap mengenai perkara itu (menjadi Perdana Menteri) tetapi bukanlah sekarang. Jika BN menang, sudah tentu Perdana Menteri kita adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Bagaimanapun, Khairy berkata, bukan hasrat beliau untuk menjawat kedudukan itu ketika ini kerana jika BN menang pada PRU ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Usia saya 46 tahun, boleh tunggu lagi, tapi jangan lama sangatlah. Saya sedia tapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu.

“Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga (yang mereka menang) dengan majoriti 26,000 (sebelum ini) dan saya akan menang kerusi untuk BN.

“Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara,” katanya.

Beliau juga berjanji akan mengeluarkan manifesto khas bagi pembangunan penduduk di Sungai Buloh yang didapatinya masih mempunyai pelbagai masalah walaupun dipimpin oleh pemimpin kerajaan negeri Pakatan Harapan selama tiga penggal.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram