SELEPAS memiliki empat orang cahaya mata, penyanyi Adira Suhaimi mengakui dia sudah melakukan Bilateral Tubal Ligation atau mengikat peranakannya selepas mendapatkan nasihat doktor pada 29 September lalu.

Jelas Adira, kaedah tersebut dilakukan berikutan dia melahirkan semua anaknya menerusi pembedahan yang kemungkinan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatannya jika dia hamil lagi.

“Sebenarnya kalau ikut hukum agama Islam, ia jatuh haram. Cuma atas sebab-sebab yang tertentu, saya dan suami bersetuju selepas mendapatkan nasihat doktor.

“Saya melahirkan empat orang anak secara pembedahan. Ia akan jadi sangat berisiko kalau saya hamil lagi.

“Alhamdulillah, cukuplah saya dah ada dua anak lelaki dan dua perempuan…hidup saya sudah lengkap. Sekarang ini saya nak fokus membesarkan mereka pula,” katanya kepada URTV.

Adira berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta Body Flassh yang diadakan di sebuah hotel terkenal di ibu negara, semalam.

Bercakap soal kerjaya, Adira bersyukur masih lagi kekal relevan dan bertahan dalam industri seni biarpun sudah berumah tangga.

Walau bagaimanapun, dia tetap meletakkan anak-anak di tangga nombor satu sebelum menerima tawaran kerja seni.

“Kebanyakannya kerja-kerja saya semua dekat dengan keluarga. Kalau jauh, saya akan minta penerbangan yang balik hari.

“Saya bukan terlalu memilih tapi kalau terlalu jauh dan lama, saya akan fikir dulu sekiranya saya boleh bawa anak-anak sekali, saya akan terima.

“Setakat ini tidak ada halangan dan semua berjalan lancar sebab saya dah biasa. Lagipun saya bersyukur juga ada pembantu yang boleh tolong jagakan anak-anak,” kongsinya.

Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek,5, Asan,4, Anggun,3 dan Ayub yang berusia sebulan.