Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin. GAMBAR: Abd Razak Aid

“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana (Sungai Buloh) dan saya tunaikan permintaannya.”

Itu kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan gabungan itu meletakkan Khairy Jamaluddin atau KJ di kerusi tersebut.

Memetik laporan BH Online, Ahmad Zahid mendakwa tiada siapa yang memaksa atau mendesak Khairy bertanding di kawasan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai cita-cita bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu menjadi Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata, masih terlalu awal berbicara tentang soal tersebut.

“Perkara itu bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang, bukan pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Bilik Gerakan Pilihan Raya Titiwangsa, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Mampukah Khairy lepasi laluan berduri atau rebah di Sungai Buloh?

Khairy yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau  bertukar kawasan bagi memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di Parlimen Rembau.

KJ ketika mengadakan ceramah kempen di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh mendedahkan hasrat untuk menjadi pemimpin utama UMNO suatu hari nanti dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Menteri Kesihatan itu berkata, beliau tidak pernah menyatakan cita-citanya itu sebelum ini tetapi bersedia memikul tanggungjawab tersebut sekiranya mendapat sokongan rakyat Malaysia terutama di Sungai Buloh terlebih dahulu.

Khairy bakal berhadapan saingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh termasuk dari Pakatan Harapan yang diwakili Datuk R Ramanan.

Pada PRU-14 menyaksikan R Sivarasa yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh sejak tahun 2008 meraih jumlah majoriti tinggi.

Sivarasa memperoleh 43,631 undi menewaskan Nuridah Mohd Salleh dari Pas (16,977 undi), A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642 undi).

Majoriti diperoleh Sivarasa yang digugurkan pada pilihan raya kali ini adalah sebanyak 26,634 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram