Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Bernama

BARISAN Nasional (BN) yakin mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata berdasarkan maklumat terkini kempen PRU15 yang dibentangkan pada mesyuarat ‘Top Five’ parti itu di Kuala Lumpur hari ini, perkembangan penerimaan pengundi terhadap BN yang diterima beliau amat positif.

‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga naib presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ismail Sabri dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ismail Sabri berkata walaupun BN boleh membentuk kerajaan dengan 112 kerusi namun beliau percaya ia tidak akan bersendirian dalam membentuk kerajaan sebaliknya bersama dengan rakan BN dari Sabah dan Sarawak supaya lebih stabil.

“Kita memerlukan kerajaan yang lebih kuat. Kita perlukan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak untuk bersama kita dan mengharapkan sokongan mereka untuk memperkuatkan kerajaan yang dibentuk pada masa akan datang.

“Walaupun 112 (kerusi Parlimen) sudah boleh membentuk kerajaan kerana tidak boleh lagi berlaku lompat parti tetapi kita mahu kerajaan yang lebih kuat bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra di Kampung Batu Bor, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kerjasama dengan mana-mana pihak keputusan parti, bukan individu – Ismail Sabri

Beliau berkata berdasarkan taklimat itu juga, BN mendapati ‘mood’ pengundi di seluruh negara semakin menyokong parti itu sama ada pengundi di luar bandar dan kawasan urban selain pengundi bukan Melayu juga sudah kembali memberikan sokongan kepada BN.

“Pengundi juga dilihat membuat perbandingan prestasi Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir kerajaan pada 2018 dengan kejayaan pentadbiran BN sebelumnya.

“Jadi mereka lebih yakin bahawa BN mampu bawa negara ke tahap lebih baik berbanding PH,” katanya.

Mengulas sentimen pengundi muda, Ismail Sabri berkata BN sedang melaksanakan libat urus dengan golongan itu seperti menerangkan mengenai tawaran BN selain memberi panduan proses pengundian kerana majoritinya adalah pengundi kali pertama.

Pada PRU15, Ismail Sabri selaku penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004, ditentang calon PH Abas Awang dan Asmawi Harun (PN-Bersatu).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Selasa ini sebagai pengundian awal manakala 19 Nov sebagai hari pengundian.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram