Biarpun cukup ringkas, namun keenakan singgang memang tidak dapat dinafikan. Silap haribulan sampai licin kuah dihirup, nak-nak kalau digandingkan dengan budu dan cili padi.

Peminat masakan Terengganu, Muliadi Ramli berkongsi lima jenis singgang yang boleh disediakan dan lauk sampingan bagi melengkapkan hidangan.

“Lauk Singgang tidak boleh dipisahkan dengan Orang Terengganu. Ada beberapa jenis Singgang yang popular di Terengganu. Selain itu Singgang juga tidak dapat dipisahkan dengan Budu…ibarat lagu dan irama…tidak dapat dipisahkan.. Abam sertakan resipi utk jenis2 lauk Singgang… *terdapat perbezaan bahan sedikit sebanyak mengikut daerah dan kawasan.

Resipi Singgang Aya
1. Ikan Aya hitam (tuna) ..nak sedap ikan mesti segar
2. Bawang merah 2 biji (mayang)
3. Bawang putih 2 biji (mayang)
3. Lengkuas 1 inci (ketuk)
4. Kunyit hidup 1 inci (potong). Kalau nok bagi kuah kuning sikit boleh masuk kunyit serbuk sikit je
5. Cili burung (nak pedas letak banyak)
6. Bendi (pilihan)
7. Garam gula secukup rasa
8. Perasa
9. Asam keping 3 keping
 
Cara :
Masukkan air dalam periuk. Kemudian masukkan semua bahan. Bila air mendidih, masukkan ikan, sayur bendi dan cili dan perasakan dengan garam dan perasa. Tutup periuk 5 ke 8 minit dan siap untuk dihidangkan.
Resipi Singgang Sotong
1. Sotong segar 300g ( dibuang kulitnya dan dibersihkan. kalau dapat sotong bertelur lagi sedap)
2. Bawang merah 2 biji (mayang)
3. Bawang putih 2 biji (mayang)
3. Lengkuas 1 inci (ketuk)
4. Kunyit hidup 1 inci (potong)
5. Cili burung (nak pedas letak bnyak)
6. Serai 2 batang
7. Garam gula secukup rasa
8. Perasa
9. Asam keping 3 keping
10. Lada hitam (pilihan)
11. Halia (pilihan)
 
Cara :
Masukkan air ke dalam periuk dan kemudian masukkan semua bahan. Bila air mendidih, masukkan sotong, cili dan perasakan dengan garam dan perasa. Tutup periuk 5 minit dan siap untuk dihidangkan.
Resipi Singgang Telur Ikan
1. Telur Aya atau Tenggiri 500 gram
2. Bawang merah 2 biji (mayang)
3. Bawang putih 2 biji (mayang)
3. Lengkuas 2 inci (potong nipis)
4. Lada hitam 1 sk ( letak banyak pun tak apa. Tumbuk sikit bagi pecah-pecah)
5. Kunyit hidup 1 inci (potong nipis)
6. Cili burung
7. Bendi
8. Garam gula secukup rasa
9. Perasa
10. Asam keping 3 keping
11. Tomato 1 biji (potong 6)
12. Serai 2 btg ( diketuk)
 
Cara :
Masukkan air ke dalam periuk. Kemudian masukkan semua bahan. Bila air mendidih, masukkan telur ikan dan sayur bendi, tomato, cili dan perasakan dengan garam dan perasa. Tutup periuk 5 ke 8 minit dan siap untuk dihidangkan.
* resipi lain tempat mungkin beza sikit bahan-bahannya.
Resipi Singgang Daging Tganu
Bahan :
1. Daging cincang dan tulang 1.3 kg ( basuh bersih dan boleh basuh dengan tepung gandum). Tos dan ketepikan.
2. Bahan untuk dimayang atau potong nipis
– bawang merah 5 biji
– bawang putih 3 ulas
– lengkuas 2 inci
– kunyit hidup 1 inci
3. Lada hitam 1 sb (ditumbuk kasar)
4. Biji ketumbar 1 sb (disanggai dan tumbuk kasar)
5. Jintan manis 1 sk ( disanggai dan tumbuk kasar)
6. Serai 2 batang (diketuk)
7. Asam keping 6 keping ( kalau suka masam letak lebih)
8. Cili thai 10 biji
9. Lada kering 5 tangkai (dibuang biji dan dipotong)
10. Bawang holland (potong 6 untuk hiasan)
11. Bawang goreng
12. Garam gula secukup rasa
13. Perasa
 
Cara :
Saya gunakan pressure cooker, jadi mudah. Masukkan daging dan semua bahan ke dalam periuk tekanan kecuali cili thai dan bawang holland serta bawang goreng. Masak dalam 15 ke 20 minit. Dalam mode stir fry, masukkan cili, bawang holland, bawang goreng, garam gula dan perasa. Selamat mencuba.
Resipi Singgang Pedas Kerisi
1. Ikan Kerisi 3 ekor (disiang dan dibersihkan)
2. Bahan kisar halus
– bawang merah 5 biji
– bawang putih 3 biji
– lengkuas 1 inci
– kunyit hidup 1 inci
– sedikit belacan (optional)
– Cili besar 2 biji
– Cili padi 12 biji (suka pedas boleh tambah)
– tomato 1 biji
* semua bahan dikisar halus
3. Gula melaka sebesar ibu jari
4. Asam keping 3 keping
5. Bendi 6 biji
6. Daun kesom 1 ikat
7. Tomato 1 biji (potong 6 )
8. Air asam jawa
9. Serai 2 batang (diketuk)
10. Garam dan gula
11. Perasa

Cara :
Masukkan air ke dalam periuk dan kemudian masukkan bahan kisar halus dan serai. Kacau dan tunggu hingga mendidih. Masukkan asam keping dan gula melaka. Kemudian masukkan ikan Kerisi, sayur bendi, daun kesom, tomato dan perasakan dengan garam dan gula serta bahan perasa. Tutup periuk dalam 8 ke 10 minit dan tutup api. Siap untuk dihidangkan. Resipi yang mudah tapi pasti sedap dan menyelerakan.
Budu
Sambal belacan mangga
Gulai Lemak Kuning Nangka Muda
Jantung Pisang Celur. Cara elakkan jantung pisang lebam, rebus sebiji dan selepas itu baru dipotong.
Timun Cina( Tembikai) dan Ulam Raja
Tumis Air Petola. Lauk-lauk di atas ini adalah lauk yang sentiasa bergandingan dengan menu singgang budu. 

Kredit : Muliadi Ramli