otak vs artificial intelligence

Dalam satu cabaran, seorang peserta diminta menjawab soalan matematik sebelas angka yang dibahagi dengan enam angka. Dalam tempoh masa kurang dari lima saat sahaja peserta tersebut dapat menjawab dengan tepat.

Bukan itu sahaja bahkan cabaran ditingkatkan lagi dengan soalan matematik tiga belas angka yang di darab dengan enam angka. Sungguh tidak disangka sekali lagi peserta tersebut dapat menjawab dengan tepat.

Dalam cabaran lain pula, peserta diminta untuk keluar dari pagar sesat yang direka menyerupai bentuk sarang lebah dalam keadaan mata tertutup. Kemudian cabaran ditingkatkan lagi dengan peserta perlu kembali semula ke dalam bilik tersebut apabila ia selesai menemui jalan keluar. Juga dalam keadaan mata tertutup. Sungguh tidak disangka, cabaran dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Sememangnya ada banyak lagi cabaran-cabaran yang dilihat sangat mustahil dek akal, dapat diatasi oleh peserta game show “The Brain China”. Program yang telah masuk musim ketiga ini diterbitkan tidak lain bagi mencungkil dan menguji kemampuan otak rakyat China.

Bukan sahaja di China bahkan di Eropah seperti Britain, Belanda dan negara maju lain telah berjaya melahirkan ramai bakat-bakat otak super. Ternyata program sebegini telah mendedahkan kepada kita bahawa kemampuan otak sangat luarbiasa jika digunakan sepenuhnya.

Pun begitu, kemampuan otak yang begitu luarbiasa ini punya pesaingnya iaitu teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mula mendominasi dunia kini. Bahkan dalam rancangan The Brain China itu juga turut diadakan cabaran antara robot AI (Baidu) dengan peserta. Dan terbukti kedua-duanya punya kelebihan yang tersendiri.

Justeru itu al-Islam merungkai isu ini bagi memberi sedikit gambaran kepada pembaca dari sudut perspektif Islam tentang otak dan kecerdasan buatan.

Otak manusia jauh lebih hebat

Adapaun otak manusia adalah 30 kali lebih canggih jika hendak dibandingkan dengan supercomputer yang tercanggih di dunia. Ini fakta dan telah dibuktikan oleh dua orang mahasiswa PhD yang melakukan kajian terhadap pengukuran kemampuan komputasi komputer dan membandingkannya dengan kemampuan otak manusia.

Dalam kajian itu mereka menguji seberapa cepat komputer dapat memindahkan informasi dari satu titik ke titik lain di dalam sebuah sistem. Sementara, untuk mengetahui keupayaan maksimum otak manusia mereka mengukur frekuensi neuron pada sel-sel otak sewaktu memindahkan cas elektrik.

Katja Grace dari University of California mengatakan kaedah ini dapat mengukur tahap kemampuan komputasi komputer dan kemampuan otak manusia. Bersama rakannya Paul Christiano dari Carnegie Mellon University mereka menggunakan supercomputer IBM Sequoila yang mempunyai prosesor yang tercanggih.

Hasil kajian mendapati otak manusia mampu bekerja 30 kali lebih cepat dibandingkan dengan Sequoila. Bahkan kajian yang dibiayai dananya oleh Boston’s Future of Life Institute itu juga bertujuan mengetahui berapa jumlah hardware yang diperlukan oleh komputer agar memiliki kemampuan setara otak manusia. 

Maka terjawablah sudah antara AI atau supercomputer dengan otak manusia siapa lebih hebat. Ia juga menjawab pertanyaan apakah AI atau robot mampu untuk menggantikan manusia pada suatu masa kelak.

Menjelaskan perkara ini Dr. Sufian Adenan, Pakar Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, otak manusia adalah ciptaan terunggul Allah S.W.T. Ia dicipta seiring dengan akal manusia yang tidak terdapat pada mana-mana ciptaan-Nya yang lain. Otak manusia memiliki keajaiban dan keunikan tersendiri. Jadi, sehebat mana sekalipun ciptaan manusia, tetap tidak dapat menandingi kehebatan otak.

Katanya lagi, otak bukan sahaja dicipta hanya untuk manusia berfikir, tetapi terlalu banyak fungsinya. Otaklah yang mengawal segala pergerakan dan anggota badan manusia, otak juga yang mengawal emosi, perasaan dan apa saja baik jasmani dan rohani manusia.

“Dalam erti kata lain, boleh dirumuskan otak adalah satu sistem dari semua pekerjaan yang dikerjakan oleh manusia. Jika mengambil istilah komputer perbuatan manusia itu terserver di dalam otaknya, sedangkan gerak tubuh manusia adalah client yang digerakkan melalui otaknya. Maka tidak hairanlah bila dikatakan otak manusia sangat mempengaruhi apa yang dilakukan oleh manusia,” ujarnya.

Bagaimana Otak Berkembang

Jelas Dr. Sufian lagi, otak manusia bukan terhasil dengan secara tidak sengaja. Ia terbentuk melalui beberapa proses dari awal kehidupan manusia bermula. Perkembangan otak juga bukanlah sesuatu yang manusia boleh kawal. Ia adalah di luar kawalan manusia. Pakar-pakar sains evolusi sendiri pun buntu dan tidak dapat menerangkan bagaimana kehebatan dan keunikan otak dapat berevolusi dan terhasil secara sendiri.

Otak juga sukar dikaji kerana tidak tahu bila ia mula terbentuk dalam rahim ibu. Malah ibu yang mengandung sendiri pun tidak tahu waktu bila dia mula mengandung melainkan setelah tidak datang period. Oleh sebab itu sukar untuk mengkaji dan mengenalpasti keupayaan otak seseorang.  

Tambahnya, dari saat ibu mula mengandung sudah pun berlaku proses pembentukan sel mengikut peringkat-peringkatnya. Bermula dari 0 hingga 14 hari (2 minggu) ialah peringkat zigot, 2 minggu hingga 9 minggu pula di peringkat embrio dan 9 minggu sehingga lahir pula adalah peringkat fetus.

Pada peringkat awal kehamilan proses pembentukan sel otak dan jasad terhasil dalam peratusan 250,000 neuron per minit. Proses ini akan lengkap sepenuhnya apabila usia bayi mencecah 5 bulan di dalam kandungan. Setelah bayi mencapai usia 20 minggu sehingga lahir proses pembentukan sel akan mulai perlahan. Ini adalah proses peringkat akhir untuk sel menjadi matang.

Namun jelas Dr. Sufian, dalam kaedah perubatan ada dua perkara pada otak yang akan matang terlebih dahulu iaitu pendengaran dan kestabilan. Ada sebabnya mengapa kedua-dua deria ini matang dulu berbanding yang lain, iaitu untuk kelangsungan hidup bayi yang baru lahir ke dunia.

Fungsinya, melalui pendengaran bayi dapat mengecam suara ibunya dan melalui kestabilan pula bayi dapat refleks dan menstabilkan diri dalam apa posisi sekalipun seperti menyusu atau ketika tidur tanpa perlu diajar.

Pada peringkat ini storage otak masih lagi kosong, belum lagi berlaku proses penghubungan wiring sel-sel otak untuk menyimpan memori dan data, yang berfungsi cumalah sel-sel asas yang membantu kelangsungan hidup bayi.

Semakin usia bayi bertambah fiber yang seakan-akan wiring di dalam sel otak juga mulai bertambah. Sudah ada aktiviti dan penyimpanan data dan memori dalam otak bayi tersebut. Sebab itu bayi sudah mula kurang menyusu, sudah ada space berbanding sebelumnya yang menyusu hampir setiap masa. Bayi sudah mula belajar bergolek dan merangkak, otaknya sudah mula berfikir dan mempelajari perkara baru. Wallahu a’lam

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram