HASRAT peminat untuk menyaksikan penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) dalam persembahan konsert Noah Zepp Kuala Lumpur esok tidak kesampaian selepas vokalis kumpulan itu, Ariel, mendedahkan tiada kolabaroasi dengan selebriti itu. 

Menurut Ariel,41, dia dan ahli Noah yang lain tidak berkesempatan bertemu dengan BCL sementelah penyanyi tersebut baru sahaja pulang ke Indonesia, semalam.

“Kami tidak sempat bertemu dengan dia pun kerana sebaik kami sampai, dia juga sudah pulang. Setakat ini belum ada kolaborasi bersama kerana konsert esok memang hanya untuk peminat Noah. 

“Kami pun sudah lama tak bertemu dengan peminat di sini jadi esok adalah hari untuk peminat Noah. Kalau ada untuk kolaborasi pun, mungkin pada konsert tahun hadapan. 

“Namun, kami lebih berhasrat untuk kolaborasi dengan pemuzik (penyanyi) Malaysia dan ia masih difikirkan untuk tahun hadapan. Tapi belum ada terfikir mana-mana pemuzik lagi, “katanya kepada URTV.

Ariel berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Yolo Malaysia Exclusive Hi Tea di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Ariel,  anggota lain iaitu David dan Lukman turut hadir. Malah, penganjur Yolo Asia yang diwakili pengasasnya Ib Harun dan Penerbit Eksklusif Yolo Asia, Haniff Hamzah juga ada bersama dalam sidanf media petang tadi.

Bercakap tentang keterujaaan untuk membuat persembahan di Malaysia, kata Ariel, dia tidak sabar untuk menghiburkan peminat Noah di sini.

“Kali terakhir mengadakan konsert di Malaysia ialah sekitar tahun 2017. Sudah tentu kami teruja dan tak sabar nak menyanyi bersama.

“Noah akan mempersembahkan 16 buah lagu yang hits termasuk lagu daripada album kami yang diterbitkan pada 2019.

“Antara yang kami akan bawakan ialah lagu Wanitaku dan Di Atas Normal yang telah digubah kepada versi yang lebih segar.

“Mengenai kejutan, kami akan lakukan juga namun sudah nama pun kejutan, jadi, tunggu saja esok,” jelasnya.