Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. -Fambar FB Tg Zafrul

PENCAPAIAN keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 yang diumumkan hari ini membuktikan bahawa dasar kerajaan sewaktu krisis COVID-19 adalah tepat dan membuahkan hasil, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

Beliau berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara meningkat 9.3 peratus yang juga pertumbuhan sembilan bulan tertinggi sejak 2000 atau lebih dua dekad lepas.

Malah, beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai satu berita baik kerana membuktikan bahawa perniagaan telah berkembang, pekerjaan dapat diwujudkan dan pengangguran berkurangan kepada 3.6 peratus pada September 2022, kadar terendah sejak kemuncak COVID pada Mei 2020 iaitu 5.3 peratus.

“Saya berpuas hati (dengan pencapaian ini) tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk membantu ekonomi rakyat. Bukan senang untuk mengurus ekonomi ketika pandemik disebabkan ruang fiskal yang sempit.

“Kita melaksanakan banyak dasar yang tak pernah dibuat oleh mana-mana negara sebelum ini seperti moratorium bersasar dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Alhamdulillah, pencapaian KDNK ini membuktikan banyak keputusan yang dibuat adalah betul,” katanya pada sidang media di Kuala Selangor, hari ini.

BERITA BERKAITAN Bank Dunia semak unjuran KDNK Malaysia kepada 6.4 peratus

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata sewaktu pandemik, pakej rangsangan dan sokongan secara keseluruhannya bernilai RM530 bilion demi membantu rakyat dan perniagaan.

Jumlah tersebut tidak termasuk Bajet 2021 dan 2022 dengan nilai keseluruhannya melebihi RM654 bilion.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu bekerja lebih keras untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, terutama berikutan jangkaan ekonomi dunia yang lebih perlahan pada tahun depan.
— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram